KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea berjaya membawa pulang kelebihan tipis 2-1 apabila menewaskan FC Copenhagen dalam aksi pertama Pusingan 16 Liga Konferensi Eropah di Stadium Parken, Copenhagen.

Walaupun bergelut di babak pertama, perubahan taktikal Enzo Maresca selepas rehat berjaya membuahkan hasil buat The Blues.

Babak pertama menyaksikan Chelsea, pasukan pilihan juara, gagal mencipta peluang berbahaya apabila hanya mencatatkan dua percubaan.

Namun, perubahan tiga pemain kelab asal London tersebut serentak di awal babak kedua mengubah rentak permainan.

Reece James membuka tirai jaringan dengan rembatan padu ke penjuru gawang, hanya 56 saat selepas rehat.

Copenhagen kemudian bangkit hampir menyamakan kedudukan serta-merta, namun percubaan Viktor Claesson hanya singgah di tiang gol, sebelum diselamatkan Robert Sanchez.

Chelsea akhirnya berjaya menambah jaringan melalui rembatan cantik Enzo Fernandez ke penjuru atas gawang minit ke-65, seolah-olah petanda kemenangan selesa pasukan pelawat.

Namun, kelalaian pertahanan Chelsea memberi ruang kepada Gabriel Pereira untuk menanduk masuk sepakan percuma pada minit ke-79, memberikan Copenhagen talian hayat untuk perlawanan timbal balik di Stamford Bridge minggu depan.

"James adalah seorang pemimpin, pemain bertaraf tinggi. Sehari selepas saya menandatangani kontrak di Chelsea, saya menghantar video kepadanya tentang melihatnya sebagai pemain tengah.

"Saya melihat Reece sebagai pemain tengah. Sejak hari pertama lagi. Saya menghantarnya klip semasa dia bercuti tentang bagaimana dia boleh menjadi pemain tengah," imbau Maresca.

LIGA KONFERENSI EROPAH

Pusingan 16

Perlawanan Pertama

FC Copenhagen 1-2 Chelsea

Panathinaikos 3-2 Fiorentina

Real Betis 2-3 Vitoria SC

Molde 3-2 Legia Warsaw

Jagiellonia Bialystok 3-0 Cercle Brugge

Pafos 1-0 Djurgarden

Borac 1- 1 Rapid Vienna

Celje 1-1 Lugano 

- Sinar Harian