Dalam acara beregu campuran, pasangan Jepun Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito menewaskan pasangan muda China, Gao Jiaxuan dan Wu Mengying 21-15, 21-16 untuk memperoleh mata pertama buat Jepun.
"Pemain Jepun sangat berpengalaman dan tenang. Saya sedih kerana belum menyumbang sebarang mata kepada pasukan saya setakat ini, dan saya telah mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki," kata Wu.
Rakan sepasukannya, Xu Wenjing, kemudian menyamakan kedudukan 1-1 selepas menundukkan pemain ranking kelapan dunia, Tomoka Miyazaki, 21-16, 21-17 dalam acara perseorangan wanita.
"Sejujurnya, saya terkejut dapat menang dalam straight set. Saya sangat fokus di gelanggang hari ini dan akan sentiasa bersedia untuk perlawanan seterusnya," kata Xu yang berusia 17 tahun.
China kemudian mendahului 2-1 menerusi Hu Zhean, yang bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Yushi Tanaka 7-21, 21-17, 21-11 dalam acara perseorangan lelaki.
Namun, Jepun kembali mengikat kedudukan 2-2 selepas Arisa Igarashi dan Ayako Sakuramoto mengatasi gandingan Chen Qingchen dan Wang Tingge 21-16, 21-18 dalam acara beregu wanita.
Dalam perlawanan penentuan beregu lelaki, Chen Xujun dan Huang Di bertarung selama 73 minit sebelum menundukkan Kenya Mitsuhashi dan Hiroki Okamura 20-22, 21-17, 21-15, sekali gus mengesahkan kemenangan 3-2 buat China.
China akan berdepan Indonesia di final selepas pasukan itu menewaskan Thailand 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
--BERNAMA-XINHUA
