Penolong jurulatih, Ramiro Gonzalez, mengejutkan ramai pihak selepas mengambil keputusan mengumumkan pengunduran dirinya meninggalkan juara 11 kali berturut-turut Liga Super, JDT.
Selepas empat tahun bersama, pengendali berusia 35 tahun itu akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Harimau Selatan selepas melalui satu tempoh yang sangat cemerlang selain mendakap 13 kejuaraan secara keseluruhan termasuk kejohanan berprestij, Piala Malaysia.
Menurut bekas pembantu Hector Bidoglio itu, Ia bukanlah keputusan yang mudah, namun dia tidak akan melupakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang menjadi rumah kedua buat dirinya.
"Saya tiba di sini meninggalkan dengan cerita yang saya takkan lupakan.
"Kami berkongsi detik yang gemilang: 165 perlawanan bersamaan 13 piala selain empat edisi kempen Liga Juara-Juara Asia (AFC)," katanya menerusi Instagram.
Jurulatih kelahiran Argentina itu turut berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas peluang yang diberikan.
"Penghargaan tertinggi buat Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana menerima kehadiran saya dengan berkata, 'Selamat datang ke kelab terbaik dunia'.
Untuk rekod, Ramiro Gonzalez telah melengkapkan program kejurulatihan bertahap Master's in Football Management and Methodologies of the Game di Real Madrid Graduate School. - Stadium Astro
