Pemain tenis Britain berusia 22 tahun itu bersembunyi di belakang kerusi pengadil sambil menangis selepas menerima perhatian tidak diingini berulang kali daripada seorang lelaki yang 'taksub' sebelum dan semasa perlawanan pusingan kedua menentang Karolina Muchova di Dubai, bulan lepas.
Raducanu yang emosional pulang ke rumah dan mempertimbangkan untuk berehat lebih lama sebelum memilih untuk kembali ke jelajah di Terbuka BNP Paribas minggu ini di Indian Wells.
Bekas juara Terbuka AS itu kini menerima kawalan keselamatan lebih ketat di California selepas lelaki berkenaan berjaya mendekati Raducanu dua kali semasa dia bersendirian.
Dia memberitahu BBC Sport yang dia gembira dengan tahap perlindungan yang diterimanya sekarang, dengan berkata: "(Ia) boleh diuruskan dengan lebih baik. Sejak kejadian itu, saya sememangnya mendapat perhatian yang lebih dan keselamatan yang lebih baik.
"Apa yang boleh kita lakukan ialah melihat apa yang berlaku dan bertindak balas kepadanya dengan cara yang lebih baik, dengan cara yang lebih positif, daripada melihat ke belakang dan menyalahkan keadaan itu. Sekarang ia diuruskan dengan lebih baik, jadi bagi saya itu penting.
"Saya kini sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan sesuatu sendirian lagi. Saya sentiasa bersama seseorang dan sentiasa diawasi."
Raducanu memilih untuk tidak mengenakan tuduhan selepas lelaki itu ditahan tetapi lelaki berkenaan dilarang memasuki gelanggang kejohanan pada masa akan datang.
Jurulatih yang bersama Raducanu dari zaman kanak-kanak, Roman Kelecic yang bersamanya di Emiriah Arab Bersatu, memberitahu sebuah laman sesawang Croatia yang lelaki itu mengikuti Raducanu dalam empat kejohanan dan cuba memeluknya.
Raducanu kelihatan sangat tertekan pada awal pertembungannya dengan Muchova selepas melihatnya di tempat duduk penonton.
Bercakap kepada wartawan Britain di Indian Wells, Raducanu berkata: "Saya sememangnya sangat terganggu.
"Saya melihatnya dalam permainan pertama perlawanan dan saya fikir, 'Saya tidak tahu bagaimana saya hendak habiskan perlawanan itu'. Saya hampir tidak dapat melihat bola sebab menangis. Saya hampir tidak dapat bernafas. Saya fikir, 'Saya perlu berhenti sekejap'."
Raducanu meneruskan permainan selepas lelaki itu dikeluarkan dari gelanggang tetapi kalah 7-6, 6-4.
"Waktu itu sangat emosional," kata Raducanu. "Selepas perlawanan, saya menangis, tetapi bukan kerana saya tewas.
Ini bukan kali pertama Raducanu menjadi mangsa penghendap. Seorang peminat taksub pernah dikenakan perintah sekatan pada 2022 selepas datang ke rumahnya tiga kali.
Raducanu akan berhadapan Moyuka Uchijima dari Jepun, yang berada tiga tangga di atasnya pada ranking ke-52 dunia, pada pusingan pertama di California. Pemenang bakal berdepan pilihan ketiga Coco Gauff, dengan 32 pemain teratas akan menerima bye ke pusingan kedua.
-- BERNAMA
