Pengurus Aston Villa, Unai Emery, kesal dengan deretan peluang di depan gawang yang dibazirkan anak buahnya ketika cita-cita Eropah mereka mengalami tamparan berikutan seri 1-1 di laman sendiri menentang Ipswich Town, awal pagi tadi.
Ipswich terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak separuh masa pertama setelah Axel Tuanzebe dilayangkan kad kuning kedua, tetapi masih mendahului 10 minit separuh masa kedua menerusi penyerang, Liam Delap.
Villa bangkit dan menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma pemain gantian, Marcus Rashford, singgah di palang untuk membuka laluan kepada Ollie Watkins untuk menampannya dari jarak beberapa meter.
Tuan rumah memiliki peluang untuk memenangi perlawanan di penghujung perlawanan tetapi Villa dibiarkan kecewa.
Bercakap kepada BBC Match of the Day mengenai sama ada keputusan seri ini merupakan satu peluang yang disia-siakan, pengurus dari Sepanyol itu berkata: “Ini sebuah perlawanan yang sepatutnya kami menangi, apabila 11 lawan 11 ia adalah sangat sukar.
“Kami mempunyai beberapa peluang yang sangat menarik untuk Ollie Watkins dan kami perlu menjadi klinikal.
"Kami bersikap positif sepanjang 90 minit dan apabila pemain lawan dibuang padang, kami benar-benar mendominasi.
“Kami melepaskan gol mudah dan untuk bangkit, ia menjadi sukar tetapi kami berpeluang untuk melakukannya, kami mempunyai peluang untuk menang tetapi pada akhirnya mereka bertahan dengan sangat baik.
"Kami mencuba dan kami bermain mendominasi sepanjang babak kedua, kami hanya menjaringkan satu gol dan ia tidak mencukupi.
"Kami berhak meraih keputusan yang lebih bagus tetapi Ipswich bersaing dengan sangat baik."
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)