LIVERPOOL melebarkan status pendahulu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Wolverhampton Wanderers di Stadium Anfield pada Ahad.

Kemenangan ke-18 selepas mengharungi 25 perlawanan membolehkan The Reds kendalian Arne Slot gah di puncak liga dengan 60 mata.

Arsenal bimbingan Mikel Arteta pula mengekori rapat dengan 53 mata selepas mengatasi Leicester City, 2-0 di Stadium King Power pada Ahad.

Bintang Colombia, Luis Díaz, 28, meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-15 yang dijelmakan hasil gandingan bersama Diogo Jota, 28 dan Mohamed Salah, 32.

Salah kemudian menggandakan pendahuluan buat The Reds apabila menyempurnakan sepakan penalti minit ke-37.

Wolverhampton bimbingan Vítor Pereira yang tidak mengalah merapatkan kedudukan menerusi jaringan pemain Brazil, Matheus Cunha, 25, untuk kedudukan, 2-1.

Liverpool selepas ini akan berdepan Aston Villa di Stadium Villa Park, pada Khamis manakala Wolverhampton bertandang ke Stadium Vitality berdepan Bournemouth pada Sabtu. - Sinar Harian