Ruben Amorim menegaskan dia sebenarnya tidak rela Manchester United mempamerkan corak permainan sebagaimana ketika mereka mengikat Arsenal 1-1 di Old Trafford, awal pagi tadi.
United kerap bertahan dan walaupun mendahului melalui sepakan percuma Bruno Fernandes dalam babak pertama, mereka akhirnya terpaksa berpuas hati apabila Declan Rice menyamakan kedudukan menuju 16 minit perlawanan.
Tuan rumah menikmati hanya 31.8 peratus penguasaan dan hanya 36 kali melakukan sentuhan di sepertiga akhir lawan berbanding seteru tersebut, 71 kali.
Amorim memberi jaminan kepada penyokong kelab bahawa corak permainan 'park the bus' atau bertahan bukanlah matlamatnya dan apabila tiba masa yang sesuai, gaya yang diterapkan juga berubah.
“Saya rasa kami berjaya melaksanakan tugas dengan baik,” kata pengurus United itu.
“Sudah tentu kami tidak mahu bermain seperti ini, bertahan begitu banyak dan memberikan bola kepada lawan.
"Dalam banyak aspek dan berdasarkan ciri-ciri pemain yang ada, ia berkesan. Sebagai contoh, Lindelof yang tidak mempunyai banyak minit permainan. Casemiro lebih selesa dalam aksi seperti ini.
"Sebagai pengendali Manchester United, saya tidak boleh membenarkan terlalu kerap corak permainan seperti ini. Kami perlu mencuba untuk memenangi perlawanan.
"Saya adakalanya tahu ia mengecewakan peminat. Kami perlu menanganinya dan, kadangkala, melakukan perkara yang tidak popular."
