Malam Anugerah MAM 2024 kembali dengan penuh gemilang selepas berehat selama enam tahun untuk meraikan pencapaian pelumba terbaik negara negara termasuk Hafizh Syahrin Abdullah, Qabil Irfan Azlan dan Azlan Shah Kamaruzaman yang diberi penghormatan dengan anugerah berprestij.
Selain itu, beberapa kategori lain turut dipertandingkan termasuk anugerah baharu yang mengiktiraf sumbangan luar biasa atlet, pasukan dan organisasi Malaysia dalam sukan permotoran tempatan dan antarabangsa.
Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Mahathir dalam ucapannya menegaskan penganjuran semula acara itu mencerminkan dedikasi mereka untuk mengiktiraf kerja keras serta pencapaian dalam sukan permotoran Malaysia.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sekali gus menegaskan komitmen kerajaan terhadap pembangunan industri sukan permotoran Malaysia.
Tiga tokoh berpengaruh dalam arena permotoran negara turut disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Sukan Motor Malaysia iaitu Datuk Ahmad Mustafa yang memainkan peranan penting dalam menjadikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai lokasi perlumbaan bertaraf dunia.
Selain itu, Barry Leong Foo Hin, tokoh yang mencorakkan karier pelumba terkenal seperti Syahrol Yuzy Ahmad Zaini, Hafizh Syahrin dan turut disenaraikan 'Raja Kapcai', Wazi Abdul Hamid.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada Allahyarham Tan Sri Basir Ismail bagi menghargai sumbangan besar membawa Formula 1 Grand Prix Malaysia ke SIC dan meletakkan Malaysia di peta permotoran dunia.
Para pemenangan anugerah menerima trofi unilk yang diperbuat daripada kayu tebus guna oleh The Green Factory, simbol kepada kelestarian dalam sukan permotoran.
Berikut senarai pemenang anugerah MAM 2024
- Pemandu Antarabangsa Terbaik - Amirul Taufek
- Pemandu Kebangsaan Terbaik - Hayden Haikal
- Pemandu Muda Terbaik - Katrina Ee Wing Thung
- Pemandu Wanita Terbaik - Ng Aik Sha
- Pasukan Pacuan 4 Roda Terbaik - Wing Hin Motorsports
- Pelumba Antarabangsa Terbaik - Hafizh Syahrin Abdullah
- Peserta Sukan E-Motor Terbaik - Nabil Nor Azlan
