Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL Mohd Shazli Shaik Mohd berkata empat kategori tiket aksi kemuncak Piala Malaysia itu akan diagihkan secara sama rata masing-masing kepada JDT dan Sri Pahang FC.
Empat kategori itu adalah General Admission yang menawarkan tiket serendah RM50 dan RM70, Premium Grandstand (RM150) dan VIP Grandstand yang dijual pada harga RM200.
"Kami berharap dengan penetapan harga tiket serta pengumuman lebih awal ini akan memudahkan penyokong-penyokong JDT dan Sri Pahang FC merancang perjalanan untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.
"Urusan penjualan tiket akan diserahkan sepenuhnya kepada pasukan finalis bagi memudahkan penyokong masing-masing mendapatkan tiket perlawanan secara sama rata," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shazli Shaik berkata maklumat lanjut berhubung pembelian tiket perlawanan akhir itu akan dimaklumkan oleh pihak JDT dan Sri Pahang FC dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
