KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan perlawanan pertama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada 25 Mac, dengan sepak mula pada 10 malam.

FAM memaklumkan, perubahan venue perlawanan pada 25 Mac adalah susulan permohonan Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) untuk menukar perlawanan ke Malaysia, manakala aksi pada 18 Nov pula berlangsung di Nepal berikutan kerja-kerja penyelenggaraan yang masih berjalan di Stadium Dasharath, Kathmandu.

"Justeru FAM telah membuat keputusan untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim selepas mendapat perkenan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi menggunakan venue berkenaan sebagai tanda permulaan revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan sendiri oleh baginda," menurut kenyataan itu.

FAM berharap penyokong Harimau Malaya dapat hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan menentang Nepal itu nanti biarpun ia berlangsung ketika Ramadan.

Tiket berharga RM40 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak 6 hingga 12 tahun akan dijual secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my bermula hari ini pada 10 pagi.

-- BERNAMA