Jahaberdeen yang juga Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) sebaliknya berhasrat untuk mempertahankan jawatan dipegangnya ketika ini pada mesyuarat agung tahunan BAM dijadual April ini.
"Secara peribadi, saya rasa biar dulu (perebutan jawatan presiden) kita fokus kepada lagi dua bulan itu untuk tingkatkan kualiti dan mutu kerja di BAM.
"Kalau anda tanya saya hari ini, saya lebih berminat untuk bekerja untuk tingkat mutu badminton, dan bukannya fikirkan sama ada akan bertanding pada pemilihan ini atau tidak," ketika ditemui selepas majlis penghargaan dan makan malam KLBA tahun 2025 di sini, malam tadi.
Setakat ini Naib Presiden BAM dan Presiden Persatuan Badminton Putrajaya Datuk Seri Khairudin Samad telah menyuarakan minat untuk bertanding jawatan tersebut yang kini dipangku Datuk V. Subramaniam.
Kerusi nombor satu BAM itu kosong selepas bekas presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meletak jawatan Ogos lepas.
Sementara itu Jahaberdeen berharap agar mana-mana calon presiden baharu BAM agar dapat menitikberatkan aspek pembangunan akar umbi serta ekosistem sukan badminton di dalam negara.
Beliau berkata calon yang menyuarakan minat untuk mengisi jawatan tertinggi tersebut juga perlu mampu mempertingkatkan mutu kerja presiden terdahulu termasuk memberi fokus kepada kebajikan pemain serta jurulatih selain memastikan tadbir urus yang baik untuk BAM.
Sementara itu beliau berkata KLBA sedang berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjadikan Arena Badminton DBKL Cheras sebagai lokasi tetap untuk pemain menjalani latihan.
"Saya harap tempat ini akan dijadikan sebagai lokasi tetap latihan. Kita sudah berbincang dengan DBKL, sudah jumpa Datuk Bandar Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif. Insya-Allah mereka setuju untuk timbang perimntaan kami," katanya.
Kompleks bernilai RM20 juta yang terletak di Taman Pertama, Cheras itu dilengkapi fasiliti antaranya 12 gelanggang, dewan serba guna, gimnasium dan surau.
-- BERNAMA
