Kemenangan itu meletakkan THT di landasan tepat untuk merangkul gelaran treble Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, selepas pasukan itu terlebih dahulu menjulang Piala Sumbangsih serta menjuarai liga buat kali ketujuh dengan rekod kemenangan bersih dalam sembilan perlawanan musim ini.
Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung dalam cuaca panas, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun gagal memecahkan kebuntuan sepanjang babak pertama.
Gol kemenangan yang dinanti-nantikan akhirnya hadir pada minit ke-40 apabila Faizal menyempurnakan pukulan sudut penalti, sekali gus memastikan kemaraan THT ke final yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Faizal, yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak MHL 2025 dengan 23 gol, menegaskan THT akan berjuang habis-habisan bagi mengulangi kejayaan treble yang kali pertama diraih pada 2023.
"Aksi ini memang sengit kerana main pukul 4 petang, sekali pecut sahaja sudah terasa kepnatan akibat cuaca panas. Kita juga ada melakukan beberapa kesilapan taktikal dalam pukulan sudut penalti menyebabkan banyak peluang terlepas. Kita kaji balik masalah ini menjelang aksi final.
"Kami mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan dan jika boleh, kami mahu menang semua perlawanan musim ini untuk menjadikannya lebih bermakna buat saya dan THT. Sama ada menangani anugerah penjaring terbanyak atau tidak itu perkara kedua, yang penting mahu cipta kemenangan buat pasukan," kata pemain berusia 34 tahun itu.
THT mara ke final selepas membelasah Armed Forces HT 8-3, manakala Matador menempah tiket ke separuh akhir dengan menewaskan TNB Thunderbolts 2-1.
Menanti THT di final ialah juara treble tahun lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membenam Maybank 7-4 dalam satu lagi aksi separuh akhir penuh dramatik dengan harapan sekurang-kurangnya mengekalkan satu piala kali ini.
Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun (minit ke-2, ke-59'), Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (17', 36') dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (51', 60') masing-masing meledak dua gol buat TNB, manakala satu lagi gol dijaringkan oleh Norsyafiq Sumantri pada minit ke-42.
Jaringan Maybank pula hadir menerusi Mohamad Ashran Hamsani (13'), Muhammad Shafiq Hassan (25'), Govers Kieran (47') dan Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah (54').
Aksi berkenaan turut dicemari insiden kad merah apabila pemain import Maybank dari Australia, Jack Hayes, dibuang padang pada minit ke-48 kerana menyiku Shello Selverius.
Final dijadualkan berlangsung pada 8.30 malam Sabtu ini di venue yang sama, manakala aksi penentuan tempat ketiga dan keempat antara Matador dan Maybank akan bermula pada 4 petang.
-- BERNAMA
