Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Prof. Datuk Abdullah Mohamad Said mengumumkan Joehari merupakan satu-satunya calon bagi kerusi nombor satu itu sehingga pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif ditutup 5.30 petang semalam.
Senarai itu juga menyaksikan dua penyandang Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram bakal mengekalkan jawatan mereka, menurut kenyataan dikeluarkan FAM hari ini.
Penyandang Presiden FAM sejak 2018, Hamidin sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan berkenaan untuk memberi laluan kepada individu baharu untuk melonjakkan persatuan itu ke tahap seterusnya.
Abdullah berkata secara keseluruhannya sejak pencalonan dibuka pada 24 Dis lepas, pihaknya menerima 39 pencalonan untuk merebut 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, namun hanya 29 calon yang layak memandangkan baki 10 calon tidak mendapat jumlah pencalonan minimum seperti yang termaktub dalam Artikel 31, Perenggan 6, Statut FAM.
Seseorang individu perlu mendapat minimum enam pencalonan daripada ahli-ahli gabungan untuk merebut jawatan Presiden, manakala bagi posisi Timbalan Presiden memerlukan lima pencalonan, empat pencalonan untuk Naib Presiden dan dua pencalonan bagi jawatan Exco.
Tujuh belas jawatan yang bakal dipertandingkan pada kongres FAM adalah satu Presiden, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan 10 ahli Exco, termasuk dua kerusi diperuntukkan untuk wanita.
Abdullah berkata Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh yang layak bertanding untuk dua jawatan iaitu Naib Presiden dan Exco, perlu memilih hanya satu jawatan untuk bertanding menerusi jawapan balas dalam Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan.
Menurutnya, kesemua calon yang layak perlu membalas semula Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan yang akan diberikan selewat-lewatnya pada Khamis (23 Januari) dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya.
"Pada masa sama, Jawatankuasa Pemilihan FAM juga akan menghantar nama mereka untuk proses saringan integriti membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.
"Seterusnya, Jawatankuasa Pemilihan FAM akan mengumumkan senarai akhir iaitu senarai rasmi nama calon yang layak bertanding pada pemilihan kali ini, pada atau selepas Khamis atau selewat-lewatnya pada 8 Feb (tujuh hari sebelum kongres berlangsung). Senarai ini juga akan dihantar kepada 18 ahli gabungan untuk makluman mereka," katanya menerusi kenyataan.
Abdullah berkata daripada 18 ahli gabungan FAM, tidak termasuk Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) serta Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang digantung keahlian, hanya pencalonan daripada 16 ahli gabungan yang sah diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM.
"Terdapat satu ahli gabungan yang tidak menghantar borang pencalonan manakala satu ahli gabungan yang menghantar borang pencalonan tetapi tidak sempurna," katanya.
Senarai calon bagi penggal 2025-2029:
Presiden (1 jawatan)
Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub |
Timbalan Presiden (2)
Datuk Mohd Yusoff Hj. Mahadi | |
Datuk S. Sivasundaram |
Naib Presiden (4)
1. | Datuk Seri Rosmadi Ismail |
2. | N. Saaran |
3. | Datuk Mohd Azhar Jamaluddin |
4. | Datuk Dollah Salleh |
5. | Syed Yazid Syed Omar |
Ahli Exco (8)
1. | Datuk Mohd Hisamudin Yahaya |
2. | Tang Chee Hong |
3. | Mohd Azizudin Mohd Shariff |
4. | Hishamuddin Abdul Karim |
5. | Datuk Zainal Abidin Hassan |
6. | Zulkifli Che Harun |
7. | Datuk Kamarudin Hassan |
8. | ACP (B) Md Dali Wahid |
9. | Datuk Adly Shah Ahmad Tah |
10. | Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri |
11. | Datuk Mohd Azhar Jamaluddin * |
12. | Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya |
13. | Datuk Dollah Salleh * |
14. | Christopher Raj Aralanthu |
15. | Datuk Dr P. Sugumaran |
16. | Datuk Seri Afandi Hamzah |
17. | Datuk Mustapha Nagoor |
18. | Zamri Ibrahim |
* Turut Dicalonkan Untuk Jawatan Naib Presiden
Ahli Wanita (2)
1. | Datuk Suraya Yaacob |
2. | Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah |
3. | Datuk Dr Fadilah Sarbi |
4. | Mimi Afzan Afza |
5. | Nur Izwani Azman |
-- BERNAMA