KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mengakui rasa cinta yang mendalam terhadap sukan itu menjadi dorongan utama untuknya menerima tawaran menurunkan ilmu dalam seni mempertahankan diri menerusi penampilan khas di Kejohanan Wilayah Pahlawan Antarabangsa Muay Thai 2025, esok.

Muhammad Johan, yang lebih mesra dikenali sebagai Jojo, berkata beliau memikul tanggungjawab besar untuk menjadi lebih matang dan berdisiplin, khususnya apabila semakin ramai anak muda menjadikannya sebagai idola dalam dunia muay thai.

"Jojo bersyukur apabila fighter muay thai jadikan Jojo sebagai idola. Sekarang makin banyak bakat, cuma fighter Malaysia perlu bimbingan yang lebih baik dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas sidang media menjelang kejohanan di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Jojo bakal bergandingan dengan bintang muay thai dunia Superlek Kiatmoo9 dari Thailand dalam seminar berkenaan bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang ramai.

Beliau menegaskan disiplin dan fokus merupakan kunci utama kejayaan seorang atlet sambil menjelaskan walaupun latihan di peringkat awal kelihatan mudah, cabaran akan semakin besar di peringkat lebih tinggi dengan pelbagai gangguan yang boleh menjejaskan tumpuan.

Beliau turut menekankan kerja keras adalah formula kejayaan yang tidak boleh diketepikan kerana tanpa usaha berterusan dan komitmen tinggi, seseorang tidak akan mampu mencapai prestasi terbaik, sama ada dalam sukan atau bidang lain.

Antara yang bakal beraksi dalam kejohanan itu termasuk Miki Ghazali, adik kepada Jojo, yang semakin mencuri perhatian dalam arena muay thai tempatan.

-- BERNAMA