KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didesak mengadakan pemilihan semula ahli jawatankuasa susulan penggantungan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Desakan itu dibuat oleh dua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) iaitu Jeli (Baru) dan Pasir Puteh.

Setiausaha PBJ Pasir Puteh Arif Hassan berkata pemilihan semula dan Mesyuarat Agung KAFA perlu dilaksanakan segera memandangkan mesyuarat agung pada Julai lepas tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan FAM.

"Kami (PBJ Pasir Puteh dan PBJ Jeli) tidak dipanggil menghadiri mesyuarat agung itu sedangkan kehadiran kami sepatutnya diwajibkan. Akibatnya, KAFA kini digantung oleh FAM.

"KAFA perlu segera mengadakan mesyuarat agung kerana semua aktiviti melibatkan program FAM dan KAFA tidak boleh dijalankan selagi penggantungan ini berkuat kuasa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 19 Dis lepas, keahlian KAFA sebagai Ahli Gabungan FAM digantung serta-merta berikutan aduan berhubung tatacara pengendalian Kongres Tahunan KAFA ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif bagi sesi 2024-2028.

Arif berkata pemilihan semula itu perlu dilakukan selewat-lewatnya April ini.

"Saya percaya jika mesyuarat agung berjalan lancar, FAM akan meluluskan permohonan KAFA untuk meneruskan aktiviti di bawah anjurannya tetapi jika terlalu lambat semua pihak termasuk PBJ akan rugi," katanya.

-- BERNAMA