PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah percaya, dia bukan sahaja sedang melalui musim paling cemerlang dalam kariernya, tetapi juga membantu pemain di sekelilingnya untuk menyerlah, kata penjaring terbanyak Liga Perdana itu pada Rabu.

Pemain berusia 32 tahun itu telah menjaringkan 25 gol liga dan mencatatkan 16 bantuan gol dalam musim yang luar biasa, membantu Liverpool menduduki tangga teratas Liga Perdana dengan kelebihan 11 mata di hadapan Arsenal di tempat kedua.

“Saya rasa ini musim terbaik saya kerana saya membuat pemain di sekeliling saya menjadi lebih baik juga, itulah yang saya rasakan,” kata Salah kepada TNT Sports.

“Saya rasa saya berada dalam keadaan yang sangat baik dan cuba bukan sahaja untuk memperbaiki diri tetapi juga membantu pemain di sekeliling saya menjadi lebih baik,” tambahnya.

“Itu adalah sebahagian daripada proses kematangan. Anda mahu semua orang bermain dengan baik kerana anda tidak boleh memenangi liga secara bersendirian, jadi anda mahu pemain lain juga memberikan prestasi terbaik mereka.”

Salah berkata, prestasinya turut membantu rakan sepasukan lain bermain dengan cemerlang.

“Jika anda lihat pada semua statistik pemain lain, ia lebih tinggi daripada musim-musim sebelumnya.

Ditambah dengan jumlah bantuan gol saya yang lebih banyak, ini menunjukkan bahawa saya benar-benar banyak membantu mereka.

“Cody (Gakpo), Lucho (Luis Diaz) dan pemain lain, musim ini adalah yang terbaik dalam karier mereka - jadi, saya rasa ini musim terbaik saya kerana saya membantu pemain di sekeliling saya menjadi lebih baik.”

Salah turut disebut-sebut sebagai calon kuat untuk anugerah Ballon d'Or, tetapi dia menyatakan memenangi trofi terbesar bersama Liverpool mungkin tidak cukup untuk memberikannya anugerah itu.

“Mari kita menangi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, kemudian kita lihat,” katanya.

“Mengenai Ballon d'Or, semua orang tahu kadang-kadang ada perkara lain yang mempengaruhi keputusan itu.” - Agensi