Jumlah ini merupakan perbelanjaan kedua tertinggi selepas rekod tahun 2023, apabila kelab membelanjakan AS$9.63 bilion (RM42.2 bilion) untuk pemindahan antarabangsa.
FIFA juga melaporkan, sebanyak 78,742 pemindahan pemain antarabangsa telah diselesaikan pada 2024 merangkumi bola sepak profesional lelaki dan wanita serta bola sepak amatur.
Kelab dari England sekali lagi menjadi kelab dengan perbelanjaan tertinggi, membelanjakan AS$1.88 bilion (RM8.25 bilion) untuk mendapatkan pemain baharu, sementara mereka juga menerima AS$1.34 (RM5.89 bilion) daripada penjualan pemain.
Pemindahan antarabangsa paling mahal pada 2024 adalah perpindahan penyerang Argentina, Julian Alvarez, dari Manchester City ke Atletico Madrid dalam perjanjian bernilai sekitar 75 juta euro (RM342.75 juta) ditambah 20 juta euro dalam bentuk tambahan insentif.
Lima pemindahan antarabangsa termahal lain termasuk Goncalo Ramos dari Benfica ke Paris Saint-Germain, Leny Yoro dari Lille ke Manchester United, Joao Neves dari Benfica ke Paris Saint-Germain dan Dani Olmo dari RB Leipzig ke Barcelona.
Dengan lima pemindahan utama menelan kos tidak kurang daripada 55 juta euro (RM251.35 juta), perpindahan percuma Kylian Mbappe dari Paris Saint-Germain ke Real Madrid dianggap sebagai kejayaan besar bagi juara Eropah itu.
Paris Saint-Germain menjadi kelab Eropah yang paling banyak berbelanja untuk pemindahan antarabangsa, diikuti oleh Manchester United dan Olympique Lyonnais.
Bola sepak wanita mencatatkan perbelanjaan rekod sebanyak AS$15.6 juta (RM68.48 juta) untuk pemindahan antarabangsa pada 2024, lebih dua kali ganda daripada jumlah perbelanjaan tahun 2023 iaitu AS$6.1 juta (RM26.78 juta).
Pemindahan terbesar menyaksikan kelab Amerika, Bay FC, menandatangani Racheal Kundananji dari Real Madrid dengan bayaran sekitar AS$860,000 (RM3.78 juta), mencipta rekod dunia baharu dalam bola sepak wanita.
Namun, rekod itu dipecahkan apabila Chelsea menjadikan Naomi Girma sebagai pemain wanita pertama bernilai jutaan dolar, menandatangani pemain pertahanan Amerika itu bulan ini dengan bayaran yang dilaporkan oleh media Britain sekitar 900,000 pound (RM4.92 juta).
Bay FC dan Chelsea menjadi pasukan wanita dengan perbelanjaan tertinggi, diikuti oleh Barcelona dan Orlando Pride.
Bola sepak amatur turut mencatatkan sejumlah 53,679 pemindahan, meningkat 4.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. - Agensi