Beliau percaya misi itu mampu direalisasikan memandangkan Malaysia mempunyai barisan penerjun muda yang berbakat, walaupun mengakui ia bukanlah satu tugas yang mudah.
Justeru, bekas penerjun yang pernah beraksi di Sukan Olimpik di Sydney 2000 dan London 2012, berkata beliau akan menggunakan pengalaman yang dimiliki sebelum ini untuk mengasah lagi kemahiran dan bakat penerjun negara untuk mencapai tahap terbaik.
" Berdasarkan rekod baru-baru ini, tahap skuad terjun kami belum sampai (podium).Jadi sebagai pengarah baharu, saya akan cuba sedaya upaya dan membantu apa sahaja yang termampu untuk mengembalikan kegemilangan itu.
"Tugas saya ialah membina pasukan baharu dan kami mahu mempunyai lebih ramai bakat pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Sebelum ini, Renang Malaysia (MS) mengumumkan Ken Nee sebagai pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan berkuat kuasa Isnin lepas, menggantikan Bryan Nickson Lomas yang meletakkan jawatannya pada Disember lalu.
Setiausaha Agung MS Andy Low berkata bekas atlet berusia 41 tahun itu dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam kolam terjun.
Dalam pada itu, Ken Nee turut berharap mampu untuk mengekalkan rekod cemerlang skuad terjun negara di pentas Sukan SEA yang dijadual berlangsung di Thailand, Disember ini.
Menurutnya empat acara akan dipertandingkan di temasya dwitahunan iaitu, 1 meter (m) papan anjal individu lelaki, 3m papan anjal individu dan seirama lelaki serta 10m platform seirama wanita.
"Kami belum memutuskan sama ada akan menghantar penerjun junior atau senior ke Sukan SEA," katanya.
Skuad terjun Malaysia meraih pingat sulung Olimpik, iaitu gangsa acara 10m platform wanita, menerusi Datuk Pandelela Rinong pada edisi 2012, manakala gandingan Pandelela dan bekas juara dunia Cheong Jun Hoong meraih perak acara 10m platform seirama wanita di Rio 2016.
Namun, skuad terjun negara pulang tangan kosong pada dua edisi terakhir, iaitu di Tokyo 2020 dan Paris 2024.
-- BERNAMA
