LONDON: Manchester City telah melengkapkan pembelian penyerang Mesir, Omar Marmoush daripada Eintracht Frankfurt, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu, lapor PA Media/dpa.

Pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak selama empat setengah tahun bersama juara bertahan selepas perpindahan yang difahamkan bernilai GBP59.1 juta (US$72.7 juta) dengan tambahan sehingga GBP4.2 juta dalam bentuk insentif.

Marmoush merupakan pemain ketiga yang dibeli City pada jendela perpindahan Januari ini selepas ketibaan dua pemain pertahanan, Abdukodir Khusanov dan Vitor Reis, awal minggu ini.

Marmoush berkata: "Ini adalah hari yang tidak akan saya lupakan. Menyertai Manchester City - antara pasukan terbaik di dunia - adalah satu perasaan yang luar biasa.

"Saya sangat gembira, keluarga saya begitu bangga dan kami semua amat teruja berada di Manchester."

Marmoush, yang boleh bermain di pelbagai posisi serangan, telah menjaringkan 37 gol dalam 67 perlawanan sejak menyertai Frankfurt pada musim panas 2023.

Beliau memulakan kariernya bersama Wadi Degla dalam Liga Perdana Mesir sebelum berhijrah ke Jerman dengan Wolfsburg pada 2020 dan kemudiannya bermain untuk St Pauli serta Stuttgart.

Marmoush telah mewakili Mesir sebanyak 35 kali dan menjaringkan enam gol untuk negaranya.

Kehadirannya di Stadium Etihad adalah sebahagian daripada usaha kelab itu untuk bangkit semula selepas kempen yang mengecewakan.

City, juara untuk empat musim terakhir, kini berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris, 12 mata di belakang pendahulu Liverpool dengan satu perlawanan lebih.

Kekalahan kepada Paris Saint-Germain pada Rabu turut meletakkan pasukan kendalian Pep Guardiola itu dalam bahaya gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Marmoush berkata: "Dengan Pep, kakitangan teknikalnya dan kemudahan bertaraf dunia di sini, pemain mempunyai segala yang mereka perlukan untuk menjadi lebih baik. Ini amat menarik perhatian saya apabila saya berpeluang menyertai kelab ini.

"Dan saya tidak boleh menafikan bahawa saya juga mahu memenangi trofi. City telah menjadi kelab paling berjaya di England selama bertahun-tahun, jadi saya tahu saya menyertai persekitaran dan budaya kemenangan."

Perbelanjaan City bulan ini kini berjumlah GBP122.5 juta.

Pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain, berkata: "Omar adalah penyerang yang berpengalaman dan mengujakan, dan saya gembira dia menyertai kami.

"Dia memiliki semua atribut yang diperlukan oleh seorang penyerang bertaraf dunia. Saya yakin bekerja dengan Pep dan kakitangan teknikal di City akan membantu beliau mengembangkan lagi bakat serangannya yang hebat."

-- BERNAMA