Tepat 15:04 petang, detik berlakunya nahas Munich, 4,500 hadirin mengenang 23 nyawa yang terbunuh apabila pesawat membawa pasukan Red Devils itu terhempas ketika cuba berlepas dari Lapangan Terbang Munich-Riem pada 6 Februari 1958.
Ketika kejadian, barisan pemain yang digelar "Busby Babes" sempena nama pengurus Matt Busby, dalam perjalanan pulang selepas perlawanan Liga Eropah di Yugoslavia.
Mereka menang aksi menentang Red Star Belgrade, dan melayakkan pasukan itu ke pusingan suku akhir.
Namun malangnya, selepas berhenti mengisi minyak, pesawat berkenaan tergelincir ketika cuba berlepas, menyebabkan pesawat itu merempuh pagar.
Lapan pemain Manchester United bersama tiga kakitangan kelab itu maut, manakala korban lain termasuk lapan wartawan, dua anak kapal, seorang agen pelancongan dan seorang penyokong kelab.
![Laman web rasmi Manchester United turut memaparkan gambar barisan pemain yang terkorban dalam nahas pesawat di Munich pada 1958 - Foto www.manutd.com](http://img.astroawani.com/2018-02/61517953253_freesize.jpg)
Acara yang berlangsung pada Selasa itu dibuka dengan ucapan Paderi Manchester United, John Boyers.
"Sesetengah daripada kita akan mengimbau kembali detik kejadian 60 tahun lalu, apabila tersebarnya berita menerusi pelbagai platform, mengenai nahas di Munich. Keluarga, sahabat, rakan sepasukan dan wira yang maut akibat tragedi ini,
"Apabila nahas Munich berlaku, kesedihan melanda negara ini dan memberi kesan mendalam kepada kita di Manchester. Ia tidak mengira sama ada anda penyokong merah atau biru, kita berkabung bersama. Mereka mengetahui, pasukan hebat itu tidak lagi bersama kita," kata Boyers.
Pemain yang terselamat adalah Sir Bobby Charlton, yang sepatutnya menang Piala Dunia lapan tahun kemudian dan Harry Gregg yang kemudian menjadi Pengurus Ireland Utara, turut hadir di majlis peringatan ini.
Pengurus Jose Mourinho dan kapten pasukan Michael Carrick meletakkan kalungan bunga mewakili kelab dan pemain-pemain.