BEREGU lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua Masters Indonesia selepas menundukkan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer di pusingan pertama hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta pasangan yang berada di ranking kelima dunia itu tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan straight set 21-13, 23-21.

Pilihan kedua kejohanan itu akan bertemu sama ada rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi atau Lu Ming Che-Tang Kai Wei dari Taiwan bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Turut mara ke pusingan kedua hari ini beregu lelaki negara meningkat naik, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasangan nombor tujuh dunia dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.

Pasangan di ranking ke-20 dunia itu mempersembahkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan 21-17, 21-19.

Wan Arif-Roy King dijangka berdepan pemenang satu lagi perlawana pusingan pertama melibatkan beregu berpengalaman tuan rumah, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan menentang Chiang Chien Wei-Wu Yi Hsuan dari Taiwan.

Sementara itu, dua lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.

Wei Chong-Kai Wun lolos ke pusingan seterusnya selepas menumpaskan pasangan China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Ju 21-19, 21-14 manakala Hang Yee-Eng Cheong menundukkanwakil tuan rumah Rahmat Hidayat-Yeremiah Rambitan dari Indonesia 21-14, 19-21, 21-18.

Dalam pada itu, saingan beregu wanita menyaksikan pasangan negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mengejutkan pasangan ranking ke-17 dunia dari Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Cien Hui 21-16, 22-20.

-- BERNAMA