KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan tidak berdepan masalah menjinakkan wakil Taiwan, Jheng Yu Chieh-Hu Ling Fang dalam kejuaraan Masters Indonesia di Jakarta hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, pasangan ranking ketujuh dunia itu hanya memerlukan 34 minit untuk meraih kemenangan straight set 21-19, 21-16.

Pearly-Thinaah dijadual bertemu pemenang dalam satu lagi aksi pusingan kedua hari ini yang melibatkan beregu Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto menentang pasangan Taiwan, Yin Hui Hsu-Jhih Yun Lin, bagi memburu tiket ke separuh akhir.

Sementara itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun meloloskan diri ke pusingan 16 terbaik selepas menumbangkan pasangan adik-beradik dari Taiwan, Fang Chih Lee-Fang Jen Lee,23-21, 21-13.

Wei Chong-Kai Wun bakal bertemu sama ada beregu 'otai' tuan rumah Mohd Ahsan-Hendra Setiawan atau rakan senegara Wan Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King, yang akan turun pada aksi yang dijadualkan berlansung lewat petang ini.

Turut mara adalah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang menewaskan Lu Ming Che-Tang Kai Wei dari Taiwan, 21-16, 21-16, sekali gus bakal membuat perhitungan menentang pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho, yang menumbangkan wakil tuan rumah, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-19, 21-19.

Bagi aksi beregu campuran, Malaysia mempunyai tiga wakil di pentas suku akhir selepas Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai, dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berjaya menewaskan lawan masing-masing..

Sementara itu,Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King 'merosakkan' majlis perpisahan legenda Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan'apabila menyingkirkan lawan itu 21-13, 21-14 dalam tempoh 28 minit di pusingan kedua.

Gandingan 'The Daddies' berusia 38 dan 41 tahun itu beraksi pada pertandingan terakhir di laman sendiri sebelum menggantung raket selepas ini.

Sebagai rekod, Ahsan-Setiawan dianggap sebagai antara beregu terbaik dunia apabila memenangi pelbagai kejohanan utama, termasuk tiga kali bergelar juara dunia pada edisi 2013, 2015 dan 2019.

Kemenangan Arif-Roy King menyaksikan Malaysia kini sudah menjamin satu tempat di pentas separuh akhir selepas mereka akan membuat perhitungan dengan rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada aksi suku akhir, esok.

Dalam perkembangan sama, beregu wanita meningkat naik Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah untuk mara ke suku akhir selepas menumpaskan wakil India Tanisha Crasto-Ashwini Ponnappa dalam aksi rubber set 13-21 24-22 21-18.

Bagaimanapun tugas sukar menanti Pei Kee-Mei Xing apabila bertemu beregu ranking keempat dunia dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang mara selepas menewaskan rakan senegara Li Yi Jing-Luo Xu Min 21-11, 21-19.

--BERNAMA