LIMA wakil negara meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Masters Orleans 2025.

Beregu Wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah, dan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, memulakan cabaran pusingan 32, Masters Orleans di Palais des Sports​, Perancis dengan langkah kanan, awal pagi tadi.

Pearly-Thinaah yang turun sebagai pilihan kedua kejohanan itu tidak berdepan masalah menewaskan wakil dari Taiwan, Chan Nicole Gonzales-Lin Chih Chuh, dalam aksi straight set 25-23,21-8 dalam tempoh 33 minit.

Dalam pada itu, Tang Jie-Ee Wei, turut meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya selepas menyingkirkan lawan dari India, Surya Ashith-Pramuthesh Amrutha menerusi aksi straight set 21-10,21-15.

Wakil beregu campuran negara itu hanya memerlukan 27 minit dengan mereka turut merupakan pilihan pertama kejohanan yang berstatus Super 300 itu.

Turut akan beraksi di pusingan 16 nanti adalah Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, yang mengatasi lawan dari Jerman, Jansen Jones-Nguyen Thuc, 21-17,21-15.

Selain itu, Arif Junaidi-Yap Roy King yang bangkit menewaskan lawan dari India, Amsakarunan Hariharan- Rethinasabapathi Ruban, 17-21,21-7,21-17, dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing membenam cabaran wakil Turkiye, Ercetin Bengisu-Inci Nazlican, 21-19,21-17, awal pagi tadi.

Berikut merupakan lawan enam wakil negara di pusingan 16:
​Lee Zii Jia lwn Srikanth Kidambi (India)
Pearly Tan-M.Thinaah lwn Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo (Korea Selatan)
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lwn Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja (Indonesia)
Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin lwn Lu Ming Che-Hung En Tzu (Taiwan)
Arif Junaidi-Yap Roy King lwn Chen Zhi Yi-Presly Smith (Amerika Syarikat)
Go Pei Kee-Teoh Mei Xing lwn Puspitasari Meilysa-Rose Rachel (Indonesia)