Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pemberian insentif itu membabitkan kejayaan 20 atlet orang kurang upaya (OKU) dalam acara renang RM35,750, tenpin boling (RM21,875), olahraga (RM21,250), catur (RM6,400), boling padang (RM5,500) dan powerlifting (RM2,000).
Beliau berkata RM7,000 turut diperuntukkan kepada pegawai, pengurus pasukan dan jurulatih terlibat dengan temasya sukan yang berlangsung di Sarawak pada September tahun lepas.
"Menjadi komitmen kerajaan untuk menghargai segala usaha, kerja keras dan semangat juang yang dipamerkan oleh atlet-atlet yang mewakili Melaka dalam apa jua bentuk pertandingan.
"Tidak dilupakan, jasa serta khidmat bakti jurulatih atau pengurus pasukan. Mereka turut diberikan insentif di atas komitmen, dedikasi dan pengorbanan yang disumbangkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Insentif Kontijen Para Sukma Negeri Melaka yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam.
Ab Rauf berkata kejayaan merangkul tujuh pingat emas, sembilan (perak) dan 11 (gangsa) itu adalah satu pencapaian cemerlang buat kontijen Para Sukma negeri berkenaan.
Justeru, beliau berkata pemberian insentif itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada semua atlet terlibat untuk terus mempamerkan kejayaan cemerlang dalam acara sukan yang ditandingi pada masa hadapan.
"Kerajaan negeri optimis menggerakkan pelbagai usaha dalam memperkasakan pembangunan khususnya sukan golongan OKU secara menyeluruh, antaranya menerusi Program Perhebat OKU.
"Program ini diumumkan pada pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka yang lepas, dan pelaksanaannya lebih menumpukan kepada pemantapan organisasi dan pasukan terutamanya bagi Kontinjen Para Sukma Melaka yang terdiri daripada pengurusan, pegawai, jurulatih dan atlet," katanya.
Ab Rauf berkata matlamat program itu adalah memberi ruang kepada atlet Para Sukma menjalani program latihan dengan lebih sistematik, di samping membantu memenuhi keperluan Kontinjen Para Sukma Melaka sebagai persediaan menghadapi temasya itu tahun hadapan.
Beliau berkata program itu juga merangkumi pembangunan sukan di peringkat akar umbi serta keperluan ekosistem sukan secara menyeluruh.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)