KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MS) sudah mempunyai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Pengarah Teknikal skuad terjun kebangsaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung MS Andy Low berkata sebanyak tiga individu telah menyatakan minat mengisi kekosongan jawatan berkenaan dengan kesemuanya adalah warga tempatan dan mempunyai pengalaman luas dalam sukan terjun.

"Untuk kali ini memang kita utamakan calon tempatan dan tidak jemput orang luar. Beliau merupakan seorang penerjun dan juga pernah beraksi di Sukan Olimpik.

"Individu itu tersebut dijangka diumumkan selewat-lewatnya pertengahan Februari ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bryan telah menghantar surat perletakan jawatannya pada 23 Dis lepas susulan mahu melebarkan sayapnya dalam bidang kejurulatih di sebuah negara di benua Asia.

Difahamkan antara nama yang akan mengambil alih tugas Bryan ialah Yeoh Ken Nee, Datuk Leong Mun Yee dan Ooi Tze Liang.

Sementara itu, Andy berkata langkah MS memilih calon tempatan bagi memastikan kesinambungan skuad terjun negara dapat diteruskan.

"Kita ambil bakat tempatan sebab mereka tahu budaya kita. Jadi mereka ini tidak akan ada masalah untuk menyesuaikan diri," katanya.

-- BERNAMA