NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, mengakhiri kemarau empat tahun tanpa gelaran antarabangsa apabila muncul juara acara keirin elit lelaki pada siri kedua saingan Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) hari ini.

Pada aksi final di Velodrom Nasional di sini, pelumba berusia 27 tahun itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi pencabar terdekat dari Korea Selatan, Kang Seojun yang meraih tempat kedua, manakala pelumba Australia, Sam Gallagher menduduki tempat ketiga.

Beliau yang cukup teruja selepas kemenangan itu berkata ia adalah kejayaan yang sangat memuaskan selepas hanya mampu meraih perak dalam acara keirin Siri Satu pada Rabu lepas, di belakang Seojun.

"Saya sudah lama tidak menang dalam acara keirin, jadi untuk berada di tempat pertama adalah sangat memuaskan. Sebenarnya agak letih selepas tiga hari berlumba di sini.

"Saya tahu jika saya memecut terlalu awal, ia mungkin akan memberi kelebihan kepada pelumba lain. Saya tahu saya perlu berlumba dengan bijak dalam final ini dan menunggu seberapa lama yang boleh sebelum membuka langkah dan Alhamdulillah ia berhasil," katanya selepas tamat perlumbaan.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat beliau dalam acara keirin peringkat antarabangsa sejak kejayaannya pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI 2021 di Hong Kong.

Semalam, Muhammad Fadhil turut meraih perak dalam acara pecut individu elit lelaki selepas tewas di belakang rakan sepasukannya, Muhammad Ridwan Sahrom.

Walau bagaimanapun, Muhammad Ridwan tidak layak ke final acara keirin.

Sementara itu, rekod kemenangan sempurna buat pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, dalam Piala Presiden tahun ini berakhir selepas meraih pingat perak dalam acara keirin elit wanita hari ini.

Pingat emas dimenangi pelumba Korea Selatan, Kim Haeun, yang tewas kepada Nurul Izzah dalam acara pecut individu semalam, manakala pelumba muda berbakat Nur Alyssa Mohd Farid meraih gangsa.

-- BERNAMA