Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, badan induk bola sepak itu seharusnya memiliki cara lebih baik daripada memecat serta menghebohkan mengenai pemecatan Fitri yang sekali gus akan memalukan dan membunuh kariernya.
Menurutnya, FAM sepatutnya lebih bersifat empati dan simpati ketika membuat sebarang tindakan terutama menilai jasanya yang telah berkhidmat lama kepada bola sepak negara.
"Memang ia satu sejarah (tindakan tidak pernah dilakukan memecat pengadil), tetapi apabila sejarah dicipta dengan cara ini saya agak sedih. Ia tindakan yang agak tergesa-gesa oleh FAM kerana perlawanan berlangsung pada Khamis lalu dan selang tiga hari kemudian sudah ada pemecatan.
"Mungkin keputusan Fitri dibuat (semasa perlawanan) tidak tepat, namun sebagai badan bertanggungjawab tak boleh luahkan kemarahan dengan cara memecat seperti ini.
"Saya tidak pertikaikan kuasa pemecatan oleh FAM, namun mungkin ada cara lain yang lebih sesuai seperti rehatkan dan minta dia untuk bersara.
"Bukan dengan cara memecat dan memalukannya dengan kenyataan yang diumumkan kepada umum. Sudah tentu ia akan memberikan kesan kepada Fitri bukan sahaja kepada maruah dirinya tetapi juga kepada keluarga dan kariernya," katanya kepada Sukan Sinar.
Pada Ahad, FAM mengumumkan memecat Fitri selepas dia menunjukkan prestasi yang lemah ketika mengadili perlawanan Piala MFL antara Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis lalu.
Ia menjadi keputusan yang agak drastik dan pertama kali dilakukan oleh FAM selain menegaskan badan induk itu tidak berkompromi dalam isu berkaitan pengadil.
Dalam pada itu, Subkhiddin yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pengajar Pengadil dan Penasihat Pembangunan Pengadil Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) bimbang tindakan FAM itu akan memberikan impak kepada pengadil lain.
"Tindakan drastik sebegini dikhuatiri akan memberikan perasaan tekanan kepada pengadil lain yang bertugas. Mungkin mereka rasa bimbang dan kurang selesa bertugas di bawah tekanan yang akan menyebabkan lebih banyak kesilapan berlaku.
"Saya harap perkara dan setiap keputusan yang mahu dibuat FAM pada masa akan datang lebih bersifat empati dan simpati untuk memastikan satu jalan penyelesaian terbaik dapat dicapai," katanya. -- Sinar Harian
