GEORGE TOWN: Satu mata cukup bermakna dikutip Penang FC dalam perlawanan penuh dramatik menentang pasukan di tangga kedua liga Selangor FC di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi, petanda positif kebangkitan semula pasukan.

Ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, semangat juang anak buahnya yang 'bermati-matian' bermain meskipun dalam keadaan padang becak harus dipuji, sehingga akhirnya berjaya mendapatkan gol penting di saat akhir sebelum mengikat perlawanan dengan kedudukan seri 1-1.

Beliau berkata, pihaknya sedar dalam keadaan sekarang, pasukannya tidak lagi boleh menerima kekalahan dan kejayaan dicatatkan malam tadi sudah cukup melegakan kerana sekurang-kurangnya mereka tidak kehilangan mata.

"Apa yang kita dapat ini hasil kerja keras para pemain. Walaupun sebahagian permainan pada separuh masa kedua ketika keadaan padang becak namun ia tidak melunturkan semangat pemain.

"Kita sedar di mana kita sekarang. Mungkin semangat juang itulah yang menjadi tonik kepada kebangkitan kami. Walaupun tidak mampu mendapat tiga mata, tetapi satu mata lebih bagus daripada tak ada langsung," katanya pada sidang media sejurus perlawanan tamat.

Wan Rohaimi, bagaimanapun, mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa kerana masih banyak baki perlawanan yang perlu diharungi dan berharap momentum ditunjukkan pada perlawanan berkenaan dapat diteruskan sehingga akhir musim.

Sementara itu, pengendali Red Giant, Kinoshi Katsuhito berkata, hujan lebat sedikit menjejaskan rentak permainan anak buahnya sehingga mereka yang pada satu masa berada di ambang kemenangan terpaksa akur hanya membawa pulang satu mata.

"Perlawanan hari ini ketika hujan ... jadi kita tidak boleh bermain dengan baik. Bagaimanapun, kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca terutamanya pada separuh masa kedua.

"Kami tidak pernah berpuas hati dengan hanya satu mata kerana matlamat kami sentiasa untuk mendapatkan tiga mata. Kami perlu memperoleh tiga mata untuk kekal, inilah misi kami," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Harimau Kumbang pada masa kecederaan susulan insiden kekasaran terhadap pemain tuan rumah telah meranapkan impian Selangor mengutip tiga mata penuh.

Selangor FC masih kukuh di tangga kedua liga dengan 39 mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala Penang FC mendaki satu anak tangga ke kedudukan ke-10 dengan mengutip 16 mata daripada 18 perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Cabaran yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 2 Feb. - BERNAMA