Brighton bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menyingkirkan Chelsea dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan Piala FA di Stadium Amex awal pagi tadi.
Dalam pertemuan itu, Kaoru Mitoma muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan untuk membawa The Seagulls ke pusingan kelima.
Selepas dibelasah Nottingham Forest 0-7 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu, pasukan bimbingan Fabian Hurzeler itu mempamerkan persembahan berbeza, sekali gus menafikan pemburuan trofi domestik pertama Enzo Maresca bersama Chelsea.
Chelsea berada di depan seawal minit kelima apabila percubaan lintang Cole Palmer dari sebelah kiri memaksa Bart Verbruggen terjaring gol ke gawang sendiri.
Bagaimanapun, Brighton hanya memerlukan tujuh minit untuk menyamakan kedudukan, di mana Georginio Rutter menanduk masuk lintangan Joel Veltman ke penjuru kiri bawah gawang Chelsea.
Brighton kemudian melengkapkan kebangkitan dalam separuh masa kedua apabila Mitoma menerima umpanan menarik Rutter dan melepaskan penyudah mengatasi penjaga gol, Robert Sanchez, pada minit ke-57. - Stadium Astro
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)