Namun, Pensyarah Kanan Sukan dan Rekreasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata dalam konteks cabaran besar seperti pusingan kelayakan Piala Asia 2027, pemilihan pemain yang bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya perlu dibuat secara teliti.
Beliau yang pernah menjadi Ketua Sains Sukan dan Penganalisis Prestasi Sabah FC dari 2021 hingga 2023 berpandangan hanya pemain yang memiliki keupayaan menyeluruh dan mampu memenuhi tuntutan permainan di peringkat tertinggi wajar diberi keutamaan dalam pasukan.
"Pertama, keupayaan teknikal iaitu asas yang tak boleh diabaikan. Pemain perlu memiliki kawalan bola yang mantap, kebolehan hantaran tepat dan keupayaan penyudah yang tajam. Pasukan berjaya lazimnya memanfaatkan aspek teknikal ini untuk mencipta dan menyelesaikan peluang jaringan dengan konsisten.
"Kepantasan dan daya tahan fizikal pula elemen penting dalam bola sepak moden yang menuntut intensiti tinggi. Kepintaran taktikal juga faktor utama. Pemain yang bijak baca permainan, faham formasi lawan dan buat keputusan tepat di bawah tekanan dapat beri kelebihan strategik kepada pasukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada masa sama, Mohamad Nizam berkata cabaran besar menanti Cklamovski adalah memastikan mentaliti pemenang ditanam dalam setiap pemain.
"Pemain perlu memiliki daya tahan mental dan keyakinan tinggi untuk menghadapi tekanan ketika berhadapan dengan pasukan yang lebih kuat. Tanpa kekuatan mental, keupayaan teknikal dan fizikal mungkin tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
"Akhir sekali, kesediaan adaptasi adalah kritikal. Pemain yang serba boleh mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai formasi dan strategi, memberikan fleksibiliti kepada jurulatih dalam merangka pelan perlawanan," katanya.
Semalam, Cklamovski yang memulakan tugas secara rasmi bermula minggu ini berkata beliau mengamalkan prinsip pintu terbuka buat semua pemain, sama ada pemain tempatan mahupun berdarah warisan bagi menyertai pasukan kendaliannya.
Sementara itu, bekas pengurus skuad Harimau Malaya Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar menganggap pendekatan terbuka Cklamovski dalam menilai semua pemain adalah kunci penting dalam mencipta sebuah pasukan yang kukuh dan berdaya saing.
Beliau berkata keupayaan bekas pengurus FC Tokyo itu untuk memilih pemain terbaik mengikut falsafah dan strategi permainannya bakal menjadi faktor penentu kejayaan pasukan kebangsaan.
"Semoga beliau boleh bentuk pasukan yang mantap untuk layak secara merit sekali lagi ke Piala Asia dan sebagai jurulatih baharu, memang kena bersikap terbuka untuk menilai semua pemain untuk dia bentuk mengikut acuan dan falsafah beliau.
"Dan saya juga bersetuju dengan Peter (Cklamovski) kalau dia datang ke Malaysia kerana visi dan misi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail kerana visi dan misi yang cuba dizahirkan baginda mampu membentuk skuad Harimau Malaya yang mantap untuk kita layak sekali lagi ke Piala Asia," katanya.
Pelantikan Cklamovski hadir bersama misi untuk memastikan Malaysia berjaya mengungguli saingan Kumpulan F pusingan kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus mencapai sasaran layak ke pertandingan bola sepak berprestij Asia itu, selain memperbaiki ranking ke arah kedudukan 100 terbaik dunia.
Bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung dari 25 Mac ini hingga 31 Mac tahun depan, Malaysia diundi bersama Vietnam, Nepal dan Laos dengan hanya juara kumpulan layak ke kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi itu.
-- BERNAMA