KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan mengatur pertemuan bersama perseorangan profesional lelaki Lee Zii Jia serta beregu profesional lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bagi membincangkan potensi dan bantuan boleh disalur menerusi program Road To Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Beliau berkata perbincangan itu dijangka dibuat bermula bulan hadapan.

"Selepas Sukan Olimpik Paris tahun lepas, kami (jawatankuasa) membincangkan bagaimana boleh membantu menyediakan pemain profesional seperti Zii Jia dengan sistem sokongan yang lebih baik. Zii Jia tidak berada di bawah program RTG tapi kami akan membincangkan perkara ini

"Trend sekarang ramai pemain perseorangan bermain dengan baik, termasuk Sze Fei-Nur Izzuddin (beregu lelaki). Kami ingin tahu bagaimana kami boleh membantu mereka dan pertemuan itu adalah untuk membincangkan kemungkinan kerjasama dengan RTG," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan projek naik taraf kemudahan gelanggang bola keranjang di Bukit Maluri di sini hari ini.

Hannah berkata perjumpaan itu tidak dapat diatur dengan segera setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

"Kita akan uruskan selepas itu, kemudian tak lama lagi bulan puasa. Jadi, kami sedang cuba mengatur masa kerana atlet juga perlu melakukan perjalanan," katanya.

Minggu lepas, Sze Fei-Nur Izzuddin dilaporkan menyambut baik tawaran daripada Jawatankuasa RTG untuk menyertai program berkenaan sebagai persiapan menuju ke LA28.

Dalam pada itu, Hannah memaklumkan bakal ada rombakan dalam jawatankuasa RTG selain penilaian semula atlet di bawah program berkenaan berdasarkan kedudukan ranking 10 teratas.

-- BERNAMA