PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo dilaporkan telah menerima tawaran Al-Nassr untuk melanjutkan kontraknya sehingga tahun depan dan akan terus beraksi dalam saingan Liga Pro Saudi itu.

Menurut laporan media Arab Saudi, Ronaldo akan berusia 40 tahun pada bulan depan bakal melanjutkan kontraknya dengan kelab itu sehingga Jun 2026 dan dijangka menerima gaji lebih kurang sama dengan nilai diterimanya sebelum ini iaitu 200 juta euro (RM922 juta) setahun.

Menerusi lanjutan kontrak ini, Ronaldo akan kekal sebagai pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia dengan memperoleh 16.67 juta euro (RM76.87 juta) sebulan serta lebih daripada 500,000 euro (RM2.25 juta) setiap hari.

Jumlah tersebut mungkin meningkat bergantung pada bonus dan pendapatan komersial yang berkaitan dengan hak imej Ronaldo.

Impak Ronaldo sejak tiba di Al-Nassr sememangnya tidak dapat dinafikan dan semasa musim pertamanya, dia memecahkan rekod liga untuk gol terbanyak dalam satu musim, menjaringkan 35 gol dalam 31 perlawanan dan memenangi Kasut Emas.

Malah, ketajamannya itu cukup luar biasa apabila secara keseluruhan telah meledak 75 gol dalam 84 perlawanan bersama pasukan Arab Saudi itu.

Namun, dia masih belum berjaya meraih sebarang piala dengan Al-Nassr selepas saingan liga itu dikuasai oleh sebuah lagi pasukan, Al-Hilal.

Ronaldo hanya berjaya memenangi satu gelaran bersama kelab Saudi itu selepas Al Nassr memenangi Kejohanan Kelab Arab pada 2023. -- Sinar Harian