RABAT: Kelab bola sepak Maghribi, RS Berkane menyambut baik keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengesahkan kemenangan mereka ke atas kelab Algeria, Union Sportive de la Medina (USM) Algiers dalam perlawanan separuh akhir Piala Konfederasi CAF (Konfederasi Bola Sepak Afrika) 2023 - 2024, lapor Agensi Berita Maghribi (MAP).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, RS Berkane memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima keputusan CAS, yang menolak rayuan USM Algiers untuk membatalkan keputusan kedua-dua perlawanan separuh akhir dan mengenakan sekatan terhadap Berkane.

"Keputusan ini mengesahkan kemenangan RS Berkane tanpa sebarang penalti, satu keputusan yang disambut dengan kepuasan besar oleh penyokong kami," menurut kelab itu.

Keputusan CAS itu sekali gus menamatkan pertikaian dan mengukuhkan kedudukan Berkane dalam kedudukan akhir kejohanan.

Piala Konfederasi CAF merupakan kejohanan kelab tingkat kedua di Afrika, yang menampilkan pasukan utama yang tidak layak ke Liga Juara-Juara CAF.

Edisi 2023 -2024 menyaksikan saingan sengit, dengan kelab dari seluruh benua bersaing merebut gelaran berprestij itu.

RS Berkane, yang pernah menjuarai kejohanan ini dua kali, terus menjadi pasukan dominan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan mengukuhkan lagi reputasinya menerusi kemenangan terbaharu ini.

-- BERNAMA