KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih ragbi 7-sebelah (7s) kebangsaan Mohd Saizul Hafifi Md Noor dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Bunga Raya 15-sebelah (15s) yang baharu, menurut Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Amir Amri Mohamad.

Amir berkata Mohd Saizul yang menggantikan jurulatih sebelum ini Mohd Farid Syazwan Abu Bakar akan mengendalikan skuad kebangsaan untuk tempoh setahun.

"Tugasan pertama Mohd Saizul adalah bagi membentuk pasukan Bunga Raya kebangsaan yang bakal memulakan aksi 2025 dalam saingan Kejohanan Ragbi Asia Emirates (ARC) pada April nanti.

"Namun kita perlu menunggu mesyuarat Ragbi Dunia pada 18 Feb ini untuk menentukan Sri Lanka akan bertemu Malaysia atau tidak, untuk memastikan negara akan beraksi di kejohanan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat KRM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amir berkata badan induk berkenaan memutuskan untuk mengekalkan kedua-dua jurulatih bagi pasukan 7s lelaki dan wanita yang kini masing-masing dikendalikan oleh Nik Safuan Ismade Nik Man dan Mohammad Faiz Samsukhidir.

Katanya, kedua-dua mereka bakal menggalas tanggungjawab untuk memburu pingat bagi temasya Sukan SEA Thailand Disember ini.

-- BERNAMA