PENDAHULU Liverpool meneruskan langkah gagah dalam misi merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, selepas membenam Manchester City 2-0 di Stadium Etihad.

Kemenangan luar biasa ke atas penyandang juara ini bukan sahaja melebarkan jurang mata di puncak liga kepada 11 mata, malah juga memberi tekanan psikologi kepada pencabar terdekat, Arsenal.

Mohamed Salah, bintang Liverpool sekali lagi menjadi watak utama di sebalik kemenangan The Reds.

Salah membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang yang terbias dari kaki Nathan Ake pada minit ke-14, sekali gus menewaskan Ederson.

Gol pembuka perlawanan itu merupakan jaringan ke-25 Salah musim ini, mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak liga.

Bintang Mesir itu juga memainkan peranan penting dalam gol kedua Liverpool, apabila beliau dengan bijak mencari Dominik Szoboszlai yang tidak dikawal di dalam kotak penalti City.

Salah yang melakukan hantaran mudah berjaya disempurnakan Szoboszlai pada minit ke-37, menggandakan kelebihan buat pasukan pelawat.

Kekalahan ini jelas merupakan tamparan hebat buat City kendalian Pep Guardiola, yang kini semakin ketinggalan dalam perebutan kejuaraan.

Skuad kendalian Arne Slot kini mengumpul 64 mata daripada 27 perlawanan, manakala Arsenal berada di tangga kedua dengan satu perlawanan kurang.

Manchester City pula tergelincir ke tangga keempat dengan 44 mata, menyaksikan impian Guardiola untuk merangkul kejuaraan liga buat kali kelima berturut-turut semakin pudar.

The Citizens kini dilihat lebih terarah kepada perebutan tempat di Liga Juara-Juara musim depan. - Sinar Harian