Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan Harnizam Basri berkata peluang pingat itu disandarkan bagi acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta keirin wanita menerusi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
"Secara realistik, saya hanya letak sasaran tiga pingat sahaja tanpa menyasarkan warna," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman hos penyiaran rasmi bagi ACT di sini hari ini.
Jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak menyertai kejohanan itu, manakala jumlah acara yang bakal disertai oleh Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula belum diputuskan.
"Shah Firdaus mengalami kecederaan lutut dua minggu lepas dan kami baharu mendapat keputusan MRI (pengimejan resonans magnetik) hari ini. Kita lega beliau tidak perlu mengambil suntikan (untuk pemulihan kecederaan itu), tetapi kena buat keputusan berapa banyak acara yang beliau akan sertai.
"Kami akan mengadakan perbincangan selepas ini jika beliau akan beraksi dalam acara keirin sahaja atau turut sertai pecut individu. Beliau juga mahu beraksi di ACT untuk menjaga kedudukan rankingnya di 10 teratas dunia, walaupun perlu bergelut dengan kesakitan ketika perlumbaan," katanya.
Muhammad Shah Firdaus disenaraikan bersama Muhammad Fadhil Mohammad Zonis untuk acara keirin lelaki dan akan beraksi di pecut individu bersama adiknya Muhammad Ridwan, manakala Muhammad Fadhil dan Muhammad Ridwan akan berganding dengan pelumba muda Mohd Akmal Nazimi Jusena bagi pecut berpasukan.
Harnizam berkata Jepun yang dijangka hadir dengan pasukan terkuatnya bakal menjadi cabaran utama buat skuad negara, manakala China dijangka menghantar muka baharu bagi saingan kali ini.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill yakin kehadiran penyokong untuk menyaksikan aksi terbaik berbasikal trek benua ini tidak akan berkurangan dengan ketiadaan pemenang dua pingat Olimpik Mohd Azizulhasni.
"Saya rasa penonton akan hadir memberikan sokongan kerana Datuk Azizulhasni sendiri meminta mereka datang menerusi media sosial dan kemungkinan beliau sendiri akan hadir. Penonton juga harus memberikan dorongan kepada pelumba meningkat naik dan harapan masa depan," katanya.
Ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2023 di Nilai, skuad negara meraih tiga emas menerusi Mohd Azizulhasni (keirin, pecut) dan Muhammad Fadhil (1 kilometer ujian masa), selain sebutir perak dan dua gangsa.
-- BERNAMA
