CRISTIANO Ronaldo percaya dirinya merupakan pemain bola sepak terhebat dengan menegaskan dia telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh pemain lain dalam kancah bola sepak.

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu kini beraksi dengan kelab Arab Saudi, Al-Nassr, susulan kejayaan besar dalam kariernya bersama Manchester United, Real Madrid, dan Juventus sebelum ini.

Kapten Portugal itu menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 tahun hari ini, dengan dia merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah bola sepak dunia dengan 923 gol ketika ini.

Dia turut memegang rekod gol antarabangsa terbanyak dengan 135 gol untuk Portugal selepas 217 penampilannya dalam semua kejohanan di peringkat antarabangsa.

Ronaldo berasakan tiada pemain lain dalam sejarah bola sepak yang boleh menandinginya dengan menjelaskan: "Sejujurnya, saya tidak pernah melihat pemain yang lebih baik daripada saya. Saya percaya saya adalah pemain paling lengkap yang pernah wujud," katanya dalam wawancara dengan La Sexta.



"Saya boleh melakukan semuanya dalam bola sepak. Saya bagus dengan tandukan, sepakan percuma dengan melakukan rembatan dengan baik menggunakan kaki kiri, saya pantas dan kuat.

"Ada yang lebih menyukai Lionel Messi, Pele atau Diego Maradona. Saya faham dan mengerti itu. Tetapi untuk mengatakan Ronaldo tidak lengkap adalah penipuan, saya pemain paling lengkap.


"Saya adalah (penjaring gol) terbaik dalam sejarah. Jika saya mencapai 1000 gol, itu hebat. Angka tidak berbohong." katanya.

-- Stadium Astro