SHAH ALAM: Selangor akan memastikan pemilihan jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 adil kepada semua negeri, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata selaku tuan rumah, pihaknya akan mencadangkan beberapa sukan lain selain 28 acara teras untuk dipertimbangkan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang bermesyuarat pada 26 Feb ini.

"Selaku tuan rumah, Selangor tidak lihat pemilihan acara sukan dari sudut kita sahaja, contohnya pickleball yang rancak dimainkan di Selangor tetapi tidak di negeri lain.

Mohd Najwan berkata selain berhasrat memberikan pendedahan kepada atlet pelapis dan menyenaraikan acara sukan baharu, pihaknya tetap akan berbincang dengan setiap negeri yang bertanding sebelum keputusan penuh dibuat.

Beliau berkata Selangor tidak akan menolak sekiranya Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi SUKMA memutuskan ada pertambahan acara tertentu selepas berbincang dengan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Exco Belia dan Sukan setiap negeri.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata lebih 2,000 Penggerak Belia Selangor (PeBS) akan dilantik sebagai sukarelawan SUKMA bagi menggalakkan golongan muda terlibat dalam penganjuran sukan dwitahunan itu tahun hadapan.

"PeBS telah melaksanakan pelbagai program akar umbi membabitkan golongan belia sejak tahun lepas dan saya akan bincang bersama Sekretariat SUKMA ke-22 Selangor untuk libatkan mereka sebagai sukarelawan," katanya.

-- BERNAMA