LEGENDA badminton beregu lelaki negara, Koo Kien Keat, dilantik sebagai jurulatih jemputan bagi membantu kem kebangsaan England menghadapi kejohanan berprestij, Badminton Seluruh England, yang akan berlangsung di Birmingham bermula 11 Mac ini.

Demi menyemak semula program latihan dan diberi penekanan khusus untuk mencapai objektif tertentu, Persatuan Badminton England (BE) mengumumkan kehadiran bekas pemain Malaysia itu akan bekerjasama mempersiap pasukan sebagai tuan rumah kepada aksi bertaraf super 1000 itu.

“Koo Kien Keat telah menyertai program prestasi elit sebagai pengendali jemputan untuk tempoh empat minggu sambil membantu menambah baik permainan individu atlet," kata BE menerusi kenyataannya.

Bekas pemenang Seluruh England 2007 itu akan berkolaborasi bersama Nathan Robertson untuk memantau perkembangan pemain.

Beregu utama mereka, Ben Lane-Sean Vendy, bakal mendapat sentuhan berbisa daripada bekas rakan Tan Boon Heong itu.

Untuk rekod, Koo Kien Keat juga pernah menghadirkan kilauan pingat dalam Sukan Komanwel, Sukan Asia, Piala Sudirman, Sukan SEA dan Piala Thomas selain Kejuaraan Dunia sewaktu bergelar atlet sebelum ini. - Stadium Astro