KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara S. Sivasangari, berjaya merangkul gelaran pertamanya musim ini selepas menewaskan pilihan kedua tuan rumah Amanda Sobhy, dalam perlawanan sengit lima set di kejohanan Piala Cincinnati Gaynor Cup 2025.

Sivasangari, yang baru sahaja mengejutkan juara bertahan dan pilihan utama kejohanan Olivia Weaver, di separuh akhir semalam, meneruskan momentum cemerlangnya untuk menang dengan keputusan 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4, pada perlawanan akhir yang berlangsung selama 48 minit di Cleveland Country Club.

Sivasangari berkata kunci kejayaannya adalah dengan tidak memberi tekanan berlebihan kepada dirinya dalam aksi akhir menentang Amanda.

"Semalam saya ingatkan diri sendiri bahawa tugas saya belum selesai, masih ada satu perlawanan lagi. Saya tidak mahu terlalu tertekan, saya tahu Amanda (Sobhy) seorang pemain yang hebat.

"Saya hanya cuba bermain mata demi mata, fokus kepada apa yang perlu saya lakukan di gelanggang dan biarkan keputusan datang dengan sendiri. Saya gembira kerana semuanya berpihak kepada saya," katanya dalam satu rakaman audio yang dikongsi Persatuan Skuasy Profesional (PSA), hari ini.

Sivasangari berkata beliau berasa gembira selepas meraih gelaran pertamanya tahun ini, dengan kemenangan terakhirnya sebelum ini dicatat pada Klasik Skuasy London, April tahun lepas.

"Saya melalui beberapa bulan yang sukar. Saya pernah mendahului 2-0 tetapi tewas dalam perlawanan yang sengit. Namun, saya anggap itu sebagai proses pembelajaran yang perlu saya lalui untuk mencapai kemenangan hari ini.

"Kemenangan ini hadir daripada pengalaman yang saya kumpul sepanjang beberapa bulan lepas," katanya.

-- BERNAMA