KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, S. Sivasangari berharap untuk meneruskan momentum kecemerlangannya selepas mencapai ranking dunia tertinggi dalam kariernya baru-baru ini.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 itu mencatat kejayaan besar dalam kariernya dengan melonjak ke tangga ketujuh dunia, memintas Amina Orfi dari Mesir berdasarkan kemas kini terbaharu.

"Saya gembira kerana telah mencapai ranking tertinggi setakat ini, segala penat lelah akhirnya terbayar. Saya berharap dapat terus meningkatkan ranking dan memperbaiki prestasi.

"Sangat bersyukur dan berjaya meraih satu lagi pencapaian besar dalam karier saya. Terima kasih kepada pasukan hebat saya yang tidak putus memberi sokongan dan sentiasa mendorong saya di setiap langkah," katanya dalam hantaran menerusi media sosial.

Pada 10 Feb lepas, Sivasangari, 26, melangkah ke kedudukan lapan terbaik dunia dari nombor 10 selepas menewaskan pemain utama Amerika Syarikat dan juara bertahan Olivia Weaver di separuh akhir serta pemain pilihan kedua, Amanda Sobhy, di final untuk meraih gelaran Kejohanan Piala Cincinnati Gaynor 2025 di Ohio. - BERNAMA