KUALA LUMPUR: Terengganu Hockey Team (THT) kembali mengungguli carta Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas berpesta gol menewaskan Nurinsafi Sporting 5-1, pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang malam tadi.

Ia merupakan kemenangan kelapan berturut-turut THT untuk mengumpul 24 mata setakat ini, mengatasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tangga kedua dengan 21 mata.

Pada aksi di Bertam, THT selesa mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan hasil jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-10, Mohd Fitri Saari (20) dan Faizal Saari (21).

THT kemudian menambah dua lagi gol menerusi pemain kebangsaan, Faizal pada minit ke-35 dan Fitri minit ke-55, sebelum pasukan Nurinsafi memperoleh gol saguhati pada penghujung babak perlawanan hasil jaringan Abhimanyu.

Skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom itu akan berdepan kelab berpangkalan di Australia, Territory Stingers pada Ahad ini sebelum saingan liga melabuhkan tirai.

Dalam satu lagi aksi membabitkan perebutan tangga ketiga liga, Maybank berjaya merakam kemenangan ke atas TNB Thunderbolts (TNB-T), 3-1 di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil.

Tiga gol pasukan Maybank dijaringkan oleh Muhajir Abdul Rauf pada minit keempat, Muhammad Najmi Farizal Jazlan (13) dan Amirrullah Zainol (17), manakala satu-satunya gol TNB-T disumbangkan oleh Muhammad Fahmi Khalid pada minit ke-23.

Keputusan itu, menyaksikan Maybank meraih 15 mata memintas kedudukan tempat ketiga yang sebelum ini dihuni TNB-T (13 mata).

-- BERNAMA