KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melahirkan kebimbangan terhadap situasi bekas atlet negara yang kini sering 'dipancing' oleh negara lain dengan tawaran sebagai jurulatih serta skim gaji yang jauh lebih menarik.

Walaupun terkilan, Hannah tidak menolak kemungkinan bahawa penyediaan skim gaji yang kurang kompetitif untuk jurulatih di Malaysia perlu ditambah baik sebagai salah satu punca bekas atlet negara berhijrah untuk mencari pengalaman ke luar negara.

Semalam, bekas penerjun negara, Wendy Ng, dilaporkan membuka lembaran baharu dalam kariernya selepas dilantik sebagai jurulatih pembangunan bakat di bawah Akuatik Singapura bagi pasukan penerjun kebangsaan republik itu.

"Betul, sebenarnya saya sedih melihat Wendy meninggalkan Wilayah Persekutuan (selaku jurulatih). Malah, bukan sahaja Wendy tetapi ramai juga bekas gimnas yang ke Singapura. Apabila melihat daripada segi nilai pertukaran mata wang, memang ia menarik.

"Kita tak boleh menghalang atlet daripada pergi mendapatkan pengalaman. Yang penting sekarang adalah skim gaji di Malaysia perlu menarik. Kita juga mahu menarik mereka kembali dan menetap di sini," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan projek naik taraf kemudahan gelanggang bola keranjang di Bukit Maluri di sini, hari ini.

Hannah berkata keadaan itu amat membimbangkan dan boleh menimbulkan persoalan tentang daya saing yang kompetitif dalam industri sukan tempatan, sekiranya isu tersebut tidak ditangani secara menyeluruh.

"Sebagai contoh, sukan skuasy juga menghadapi masalah yang sama, di mana China kini sedang meningkatkan keupayaan mereka. Ong Beng Hee (bekas atlet skuasy) juga sudah ke sana. Jadi, saya harap jurulatih sedia ada tidak meninggalkan Malaysia untuk ke tempat lain.

"Sukan adalah satu industri yang sangat kompetitif dan negara-negara lain sibuk melabur dalam sukan. Kita juga perlu melabur dan sebab itu saya telah meminta badan korporat untuk membantu dalam hal ini," katanya.

Selain Wendy, industri sukan tempatan turut menerima tamparan selepas beberapa bekas atlet negara berkelana ke luar negara seperti bekas pemain badminton Wong Choong Han, Tan Bin Shen, dan Jeremy Gan ke Hong Kong.

-- BERNAMA