SEPANG: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tidak mahu memberikan janji manis sebaliknya akan berusaha mendapatkan ganjaran sewajarnya buat skuad negara yang berjaya membawa pulang dua pingat emas dan dua perak di Kejohanan Piala Dunia 2025 baru-baru ini.

Ini susulan kejohanan tersebut tidak tersenarai dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Perkara itu dimaklumkan Presiden MTBC Datuk Mohd Najeeb Abdullah yang menegaskan beliau sentiasa percaya terhadap kemampuan pemain terutama dengan jadual padat menanti mereka sepanjang tahun ini yang akan ditutup dengan Sukan SEA di Bangkok.

"Ini sesuatu yang sedih jugak (tiada ganjaran) namun kita akan berusaha untuk menghargai pengorbanan atlet...dengan mengadakan sesuatu. Saya tidak menjanjikan di sini tetapi kita akan secara positifnya akan adakan, insya-Allah," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok memaklumkan hanya dua kejohanan dibenarkan oleh Majlis Sukan Negara untuk dimasukkan dalam SHAKAM iaitu satu bagi peringkat dunia dan satu peringkat Asia justeru pihaknya memilih Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia.

Sementara itu, Mohd Najeeb yang dilantik presiden pada 29 Sept tahun lepas menyifatkan kejayaan skuad negara di Kejohanan Piala Dunia 2025 sebagai kesinambungan hasil usaha berterusan barisan pengurusan dan atlet.

Beliau turut mengakui cabaran semakin besar di Sukan SEA apabila bilangan pingat dipertandingkan dalam acara boling dikurangkan daripada 11 kepada enam, namun kekal optimis Malaysia mampu membutirkan emas.

"Pada bulan November nanti, kita akan menghadapi Kejohanan Dunia di Hong Kong, hanya lapan hari sebelum Sukan SEA Thailand. Walaupun Sukan SEA menjadi medan bantu negara meraih emas, kami juga perlu memastikan atlet kekal kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Cabaran pasti lebih sengit tetapi kami akan terus memberikan fokus kepada sistem latihan terbaik. Dengan barisan atlet sepenuh masa, kami yakin dapat membentuk mereka untuk terus menyerlah di mana-mana kejohanan," katanya.

-- BERNAMA