Vincent Kompany lega Bayern Munich mampu melepasi ujian sukar di Celtic meskipun pengurus itu memberi amaran bahawa perjuangan mereka dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) tersebut hanya separuh jalan.
Michael Olise dan Harry Kane menemui sentuhan penyudah di Celtic Park sebelum Daizen Maeda menawarkan harapan kepada tuan rumah apabila mengurangkan defisit gol -- 11 minit sebelum tamat permainan awal pagi tadi.
Bayern akan membawa bekalan tipis 2-1 dalam ulangan play-off minggu depan, lantas Kompany berpuas hati untuk meninggalkan kubu Celtic dengan kemenangan yang sukar.
"Ia adalah klise untuk diperkatakan tetapi perlawanan ini baru separuh jalan. Secara keseluruhannya, ini adalah keputusan yang sangat hebat," kata ketua jurulatih itu pada sidang media selepas perlawanan.
"Tidak melihat banyak kekalahan di sini terutama di peringkat Eropah, jadi kami menghargai kepentingan perlawanan dan kemenangan ini."
Kompany sentiasa mengharapkan cabaran yang sukar sambil menyedari betapa pentingnya penyokong tuan rumah yang mencetuskan inspirasi kepada Celtic.
"Saya kenal benar gelanggang ini, saya sedar kadang-kadang mereka melangkaui prestasi sendiri," tambahnya.
"Kami menanganinya dengan sangat baik untuk satu tempoh yang panjang dengan tidak membiarkan permainan menjadi huru-hara.
"10 minit terakhir kami terpaksa bertahan dan kami melakukannya dengan baik.
"Pada saat-saat itu, jika perlawanan menjadi rancak maka ia merupakan satu gelanggang yang istimewa."
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)