(Real Madrid ke pusingan 16 dengan agregat 6-3)
Kylian Mbappe membintangi kemaraan Real Madrid ke pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan Manchester City 3-1 dalam perlawanan kedua playoff pusingan kalah mati di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.
Dengan jaringan hatrik daripada penyerang itu, Madrid meneruskan kemaraan dengan agregat 6-3 dan pasukan juara bertahan berkenaan akan bertemu sama ada Bayer Leverkusen atau Atletico Madrid bagi meneruskan pemburuan gelaran ke-16.
Mbappe memulakan aksi gemilangnya dengan membuka jaringan seawal minit keempat, di mana dia memanfaatkan umpanan jauh Raul Asencio sebelum melakukan lambungan yang menewaskan penjaga gol, Ederson.
Madrid kemudian terus menguasai permainan dan Mbappe berhasil melakukan penyudah keduanya ke penjuru kiri bawah gawang City pada minit ke-33.
Menjelang sejam permainan, bintang Perancis itu melengkapkan hatriknya dengan mengatasi Phil Foden sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang melepasi jangkauan Ederson.
City akhirnya dapat melakukan percubaan tepat pada 15 minit terakhir dan Nico Gonzalez menjaringkan gol sagu hati pelawat dalam waktu kecederaan selepas memanfaatkan lantunan bola susulan sepakan percuma Omar Marmoush.
