BINTANG Brazil, Vinicius Junior menegaskan bahawa dia mahu mencapai 500 perlawanan bersama Real Madrid selepas spekulasi mengaitkannya dengan kelab di Arab Saudi semakin meningkat.

Kemenangan 1-0 ke atas Real Sociedad dalam separuh akhir Copa del Rey pada Khamis merupakan penampilan ke-299 Vinicius untuk Real.

Namun, masa depannya bersama Los Blancos semakin hangat diperkatakan apabila pegawai atasan Liga Pro Saudi bersiap sedia untuk mencadangkan perpindahan yang akan menjadikan Vinicius sebagai pemain paling mahal sepanjang zaman.

Awal bulan ini, dilaporkan bahawa Vinicius telah menolak tawaran pembukaan Real dalam rundingan mengenai kontrak baharu.

Penolakan itu didakwa berpunca daripada jumlah wang yang ditawarkan oleh Liga Pro Saudi yang telah memberi kesan kepada Vinicius.

The Telegraph menyatakan bahawa pegawai Saudi bersedia untuk membuat bidaan lebih dari £200 juta (RM1.123 bilion) untuk Vinicius pada musim panas ini.

Real sebelum ini telah menjelaskan bahawa mereka tiada niat untuk menjual Vinicius namun meletakkan keputusan akhir kepada pemain berusia 24 tahun itu.

Jika kenyataan terbaru Vinicius adalah jujur, maka dia tidak mempunyai keinginan untuk memikirkan mengenai kemungkinan perpindahan dari Santiago Bernabeu.

Perbincangan mengenai lanjutan kontrak Vinicius yang tamat pada 2027 masih diteruskan dan pengurus Carlo Ancelotti telah menjelaskan dia optimis bahawa calon Ballon d'Or 2025 itu kekal bersama Real.