KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Thaipusam pada minggu depan, gerakan Clean Thaipusam meningkatkan usaha bagi memastikan perayaan itu disambut dalam suasana lestari oleh ratusan ribu penganutnya.

Melibatkan 500 sukarelawan di seluruh negara, kempen itu menumpukan pada pengurusan sisa, kutipan buah-buahan dan kitar semula di lima tapak kuil utama, iaitu Batu Caves, Pulau Pinang, Ipoh (Perak), Sungai Petani (Kedah) dan Masai di Johor.

Jurucakapnya M. Nalina Devi berkata inisiatif kali ini termasuk kegiatan seperti mewujudkan bank buah-buahan bagi mengumpul buah yang dijadikan sembahan, meningkatkan usaha kitar semula untuk kegiatan amal dan penempatan tong sampah sementara di lokasi-lokasi utama.

"Cabaran terbesar ialah jumlah penganut terlalu ramai yang secara langsung meningkatkan penghasilan sampah. Sekalipun ramai yang semakin sedar aspek kebersihan, masih ada isu buang sampah merata-rata," katanya kepada Bernama.

Sejak penubuhannya, gerakan itu mencatat penambahbaikan dengan banyak kuil melaksanakan strategi pengurusan sisa yang lebih baik seperti Batu Caves yang menambah jumlah tong sampah selain meningkatkan rutin pembersihan, sementara pihak pengurusan kuil menganjurkan pengurangan penggunaan plastik.

Bagi meningkatkan impak, Clean Thaipusam melanjutkan operasi dari dua hari sebelum ini ke empat hari di kuil-kuil utama serta mula mengenal pasti jumlah sisa buah-buahan dan sampah plastik. Gerakan itu juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan serta pusat perlindungan haiwan.

Kempen kesedaran orang awam masih menjadi strategi utama gerakan itu yang memanfaatkan media sosial seperti TikTok dan Instagram. Sukarelawan pula berkunjung ke setiap vendor bagi menggesa mereka mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Selain itu, Clean Thaipusam turut merancang untuk memperluas usaha mereka ke sekolah rendah bagi memupuk kesedaran alam sekitar di awal usia. Gerakan ini juga memberi sokongan kepada usaha-usaha pembersihan di upacara-upacara keagamaan Hindu lain seperti Maasi Magam dan Chitra Pournami.

Bagi menggalakkan penganut menyumbang kepada sambutan Thaipusam yang lebih bersih, Nalina menggesa mereka membawa beg kitar semula, mengelakkan pembaziran makanan serta memastikan bahan-bahan ritual dilupuskan di tempat sepatutnya.

"Tindakan kecil seperti kutip sampah sendiri atau berkongsi gambar sebelum dan selepas di kawasan umum yang dibersihkan boleh wujudkan impak besar. Kami mengalu-alukan penglibatan semua orang," katanya.

Sesetengah kuil menguatkuasakan garis panduan kebersihan yang ketat di kawasan mereka, namun isunya di luar perkarangan. Pihak berkuasa tempatan berserta Thaipusam Task Force giat mengambil tindakan terhadap vendor bermasalah termasuk menutup operasi mereka yang melanggar peraturan pengurusan sisa.

"Masih ramai vendor menggunakan plastik sebagai pembungkus secara berlebihan, terutama plastik sekali guna. Keadaan ini perlukan peraturan lebih ketat, dan sepertimana larangan menjual alkohol berhampiran kuil pihak berkuasa tempatan wajar lakukan perkara sama untuk pengurusan sisa," kata Nalina.

Tahun ini, Clean Thaipusam bergerak dari 8 hingga 11 Feb di lima kuil Murugan, termasuk buat pertama kali di Masai, Johor.

Selain itu, ia juga bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Selayang bagi menguruskan sisa di luar perkarangan kuil Batu Caves.

"Kami harap dapat mewujudkan perubahan yang berkekalan dengan menggembleng pendidikan alam sekitar di sekolah selain meluaskan usaha pembersihan kami meliputi lebih banyak upacara keagamaan. Menerusi kesedaran awam yang konsisten dan rasa kebertanggungjawaban, kita boleh wujudkan sambutan Thaipusam yang lebih bersih dan lestari," katanya.

-- BERNAMA