GEORGE TOWN: Ketika penggunaan mesin mendominasi dalam pelbagai pekerjaan, V. K. Pragalathen berusaha mengekalkan warisan pembuatan kavadi dengan menggunakan tangan bagi menambah keceriaan dan nilai seni pada perayaan Thaipusam sejak lebih dua dekad lepas,

Bagi Pragalathen, seni menghasilkan kavadi yang rumit dan berwarna-warni itu, bukan sekadar perniagaan semata-mata tetapi lebih kepada hobi dan minat yang mendalam.

Menceburi bidang itu seawal usia 18 tahun, dia turut berkongsi tentang bagaimana hobi tersebut bertukar menjadi perniagaan yang serius hasil dorongan daripada tiga rakannya, A.Raymond, 44, V.Selvakumar, 51, Y.Kantha, 44, yang ingin melihat dia melangkah lebih jauh dengan kemahiran dimiliki itu.

Kini pada usia 43 tahun dan dengan pengalaman lebih dua dekad, Pragalathen dan pasukannya telah memperhalusi seni pembuatan kavadi dan terus berpegang kepada keaslian iaitu segalanya dibuat dengan tangan meskipun kini terdapat rekaan buatan mesin.

"Prosesnya sangat memenatkan, mengambil masa hingga empat hari untuk menyiapkan satu kavadi (jika menumpukan sepenuh masa) dan kerja-kerja yang teliti memerlukan masa serta kesabaran. Ia tentang perincian dan apa yang membuatkan setiap rekaan itu unik.

"Sesuatu yang istimewa apabila dapat membuat kavadi dengan tangan sendiri. Setiap tahun kami menerima banyak permintaan rekaan daripada pelanggan manakala sebahagiannya memilih untuk menggunakan rekaan kami yang dikongsikan di Facebook dan TikTok," katanya kepada Bernama di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Paya Terubong, di sini.

Kavadi adalah struktur arca yang dipikul penganut Hindu semasa Thaipusam bagi menunaikan nazar dan berdoa sebagai tanda pengorbanan dan penghormataan kepada Dewa Murugan.

Penganut Hindu akan meraikan Thaipusam pada 11 Feb ini untuk memperingati peristiwa Dewi Parvati memberikan 'vel' atau lembing kepada anak lelakinya, Dewa Murugan bagi menghapuskan kuasa jahat Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan.

Bagi Thaipusam tahun ini, Pragalathen berkata, dia menerima 13 tempahan kavadi dengan dua daripadanya telah siap dan dihantar kapada pelanggan di Johor, manakala bakinya sedang giat disiapkan bagi memastikan ia dapat diserahkan menjelang Isnin ini.

Dia berkata, harga sebuah kavadi antara RM800 hingga RM900 bergantung kepada rekaan dan tahap kesukaran buatannya, harga yang dianggap antara paling berpatutan di bandar raya ini manakala rekaan paling mahal mencecah RM3,500.

Walaupun pendapatannya tidak selumayan berbanding mereka yang melakukan secara komersial, Pragalathen berkata, dia dan rakan-rakannya lebih menghargai seni yang ada pada kavadi, selain ia suatu pekerjaan yang mereka senangi dan tidak melihatnya dari sudut wang semata-mata.

"Ramai yang membuat kavadi sekarang ini namun saya tidak anggap mereka sebagai pesaing. Bagi saya, kegembiraan terletak pada rekaan yang dihasilkan dan puas melihat senyuman pelanggan yang membawa hasil kerja kami ketika Thaipusam," katanya.

Dia juga berterima kasih kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Terubong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai kerana telah menyediakan ruang di MPKK Paya Terubong untuk pasukannya mempamerkan kavadi mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Kebanyakan kavadi rekaan Pragalethen mempunyai 'vel' (lembing), senjata suci Dewa Murugan dan ia menjadi 'signature' bagi hasil kerjanya yang melambangkan tradisi dan inovasi.

Selain tarikan lebih 100 gerai dikenali sebagai 'Thaneer Panthal' yang dihias meriah serta pengagihan makanan dan minuman vegetarian percuma, sambutan Thaipusam di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga, di sini juga terkenal dengan rekaan berwarna-warni Kavadi dari stirofoam yang dibawa oleh penganutnya. - BERNAMA