KANSER serviks merupakan kanser keempat paling kerap dikesan di kalangan wanita Malaysia selepas kanser payudara, kanser usus dan kanser paru-paru.

Kanser ini terbahagi kepada empat tahap, iaitu tahap awal bagi kanser tahap I dan II dan tahap melarat bagi kanser tahap III dan IV.

Kanser tahap awal masih boleh dirawat dengan pembedahan, manakala kanser tahap melarat atau berulang pula hanya boleh dirawat sama ada dengan kombinasi kemoradioterapi, kemoterapi, rawatan bertarget ataupun paliatif.

Pemilihan jenis rawatan bergantung kepada ketahanan tubuh untuk menjalani rawatan dan persetujuan  bersama antara perawat dan pesakit serta waris.

Kanser serviks bermula apabila pangkal rahim dijangkiti secara berterusan oleh virus human papilloma atau HPV.

Proses perubahan sel pangkal rahim menjadi kanser berlaku selama 10 ke 15 tahun. Virus kategori risiko tinggi terutamanya jenis 16 dan 18 boleh tersebar melalui hubungan seksual dan sentuhan alat kelamin.

Kebanyakan lelaki dan wanita merupakan pembawa virus HPV walaupun tidak mengalami apa-apa petanda. Lelaki dan wanita yang dijangkiti virus ini mampu sembuh dengan sendiri.

Namun, terdapat segelintir individu menjadi pembawa HPV secara berterusan dan menjangkiti pasangan kelamin masing-masing.

Faktor

Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan individu dijangkiti HPV tidak dapat menyahkan jangkitan HPV.

Antaranya, individu yang merokok, pengambilan pil perancang, jangkitan HPV ketika umur lebih dari 30 tahun, pengambilan ubat-ubatan yang merendahkan sistem imun tubuh, dan jangkitan virus HIV.

Kanser serviks paling kerap dikesan di kalangan wanita berumur 35-44 tahun.

Namun demikian, wanita berumur 50 tahun ke atas tidak juga terlepas dari risiko mendapat kanser ini.

Rajah 1 menunjukkan geraf yang semakin melebar dari atas sehingga lapisan bawah.

Rajah 1: merujuk kepada kadar pengesanan kes baharu (insiden) kanser pangkal rahim di kalangan wanita Malaysia menurut laporan Institut Kanser Negara dari tahun 2017-2021.


Ini menunjukkan pertambahan kes kanser serviks seiring peningkatan usia.

Penemuan ini menguatkan lagi bukti mengenai perubahan sel pangkal rahim disebabkan HPV yang memakan masa bertahun-tahun sebelum bertukar menjadi kanser.

Perlu ditekankan bahawa risiko mendapat kanser serviks tidak terhenti walaupun wanita sudah tidak lagi aktif menjalani hubungan kelamin kerana jangkitan yang berlaku ketika usia muda masih mampu terus menerus melakukan perubahan kepada sel pangkal rahim dan akhirnya menjadi kanser.

Pencegahan

Peringatan harus sentiasa diberikan kepada wanita untuk terus menerus menjalani ujian saringan walaupun hampir atau sudah mencapai umur putus haid.

Saringan kanser serviks boleh dijalani sama ada melalui ujian kehadiran virus HPV mahu pun ujian calitan pangkal rahim. 

Program saringan kanser serviks kebangsaan bermula pada umur 30-65 tahun bagi ujian HPV dan 25-65 tahun bagi ujian calitan serviks.

Rujukan ke pakar sakit puan bagi ujian lanjutan akan dilakukan bagi wanita yang dikesan mendapat keputusan yang tidak normal.

Kolposkopi ataupun ujian melihat serviks dengan mikroskop seperti rajah 2 boleh mengesan kawasan serviks yang tidak normal dan rawatan pemulihan akan dilakukan bagi membendung penularan sel tidak normal dari menjadi kanser.

Umum

Ujian saringan HPV telah pun dilaksanakan di peringkat nasional melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Klinik Kesihatan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, National Cancer Society Malaysia, Projek ROSE dan premis hospital kerajaan mahu pun swasta.

Ujian ini boleh dilakukan secara kendiri dengan memasukkan putik kapas bertangkai panjang ke dalam faraj seperti arahan dalam Rajah 2.

Wanita yang dikesan mengalami jangkitan HPV akan dirujuk kepada pakar sakit puan bagi menjalani prosedur kolposkopi di mana pangkal rahim akan diamati secara lebih halus menggunakan mikroskop bagi mengenalpasti kawasan permukaan pangkal rahim yang tidak normal.

Rawatan selanjutnya bergantung kepada keputusan sampel pangkal rahim dari prosedur kolposkopi.

Kesimpulan

Semua wanita terdedah kepada risiko mendapat kanser serviks tanpa mengira peringkat umur dan status kesihatan.

Pencegahan awal boleh dilakukan bagi merawat sel serviks di peringkat pra-kanser sebelum ia melarat menjadi kanser dan menjejaskan kesihatan wanita.

Ujian saringan boleh menyelamatkan nyawa dan perlu dilakukan secara berkala bagi mencapai target pelupusan kanser serviks pada tahun 2030 seperti yang disarankan oleh World Health Organisation (WHO).


* Dr Noor Azura Noor Mohamad ialah Pakar Perunding Kanser Sakit Puan, UiTM Private Specialist Center (UPSC).

** ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.